Berita

Kerajaan bayar ganti rugi RM600,000 kepada keluarga Beng Hock

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Kerajaan akan membayar ganti rugi RM600,000 atas kecuaian dan RM60,000 kos kepada keluarga Teoh Beng Hock, kata Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo.

Menurutnya, defendan iaitu kerajaan Malaysia dalam saman yang dibawa keluarga Teoh Beng Hock hari ini mengakui kecuaian di pihaknya sehingga menyebabkan kematian mendiang pada 2009.

“Defendan bersetuju untuk membayar keluarga Teoh sejumlah RM600,000 sebagai ganti rugi dan RM60,000 kos,” kata Gobind dalam satu kenyataan hari ini.

Keluarga Teoh sebelum ini menyaman 10 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan Malaysia dan SPRM sendiri kerana cuai ketika mendiang dalam jagaan mereka dan seterusnya mengakibatkan kematiannya.

Keluarga Beng Hock menyaman dan menuntut pampasan terhadap kesedihan yang mereka alami, hilang tempat bergantung dan kecuaian dibuat pihak defendan.

Keluarga mendiang yang ditemui di mahkamah hari ini berkata, mereka menerima hanya bayaran kepada sejauh mana tuntutan kecuaian, namun tetap berpegang keputusan Mahkamah Rayuan dan menuntut polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab yang menyebabkan kematian.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa kematian mendiang Beng Hock enam tahun lalu adalah diakibatkan perbuatan pihak-pihak tidak bernama termasuk pegawai-pegawai SPRM.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Datuk Haji Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Mah Weng Kwai bersetuju bahawa majistret Mahkamah Koroner serta Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memberi penghakiman terbuka terhadap siasatan kematian.

Justeru itu kata Gobind, keputusan hari ini adalah kemenangan besar kepada keluarga mendiang, selepas enam tahun berjuang bagi mendapatkan keadilan, yang kini memiliki keabsahan oleh SPRM dan kerajaan bahawa mereka bertanggungjawab atas kematiannya.

“Kami akan terus mendesak pihak polis untuk bertindak berhubung perkara ini.

“Kami telah melakukan sebaik mungkin melalui saluran yang sah. Kini giliran pihak polis melakukan perkara sewajarnya dan kami tidak akan berhenti mendapatkan keadilan bagi pihak mendiang Teoh Beng Hock,” ujar Gobind.

Dalam pada itu Gobind memaklumkan bahawa beliau bagi pihak Biro Undang-undang DAP tidak akan mengambil apa-apa bayaran daripada keluarga Beng Hock.

“Ini merupakan arahan jelas kepada saya oleh mendiang Karpal Singh, sebagai penghormatan atas perkhidmatan dalam kes ini sebelum meninggal dunia tahun lalu,” kata Gobind. – Roketkini.com