Berita

Bantahan dari UMNO-BN sendiri, bukti GST dasar yang salah – Steven Sim

BUKIT MERTAJAM, 13 MEI: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April lalu jelas satu dasar yang silap oleh kerajaan Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, ‘kajian teliti’ yang dibuat kerajaan hanyalah sekadar pembohongan.

Ujarnya, ini kerana semakin ramai dari kalangan pimpinan UMNO-BN dan jabatan-jabatan kerajaan sendiri menuntut agar GST dibatalkan atau dikecualikan

Tambah Steven, fenomena ini menunjukkan perjuangan Pakatan Rakyat membantah GST sejak diumumkan untuk dilaksanakan pada 2009 adalah bertepatan dengan kehendak rakyat.

“Walaupun baru sebulan lebih GST dilaksanakan, kita sekarang sudah dengar suara-suara yang kuat membantah dan bukan sahaja dari Pakatan, bahkan dari pihak lain.

“Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris dari UMNO juga mengadu mengenai GST yang menjadi beban kepada rakyat apabila dia turut dikenakan caj tinggi RM 1200 untuk rawatan anaknya.

“Saya percaya bahawa lebih ramai pihak akan muncul untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan GST, termasuk dari Barisan Nasional,” jelas Steven.

Malah kata Steven, semakin ramai menyuarakan pandangan agar pengecualian GST dibuat, termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad.

“Baru-baru ini Tun Mahathir turut lantang menggesa GST dibatalkan dalam sebuah forum Bicara Negarawan di Kuala Lumpur.

“Beliau dilaporkan sedang giat melakukan jelajah negara bagi menerangkan isu tersebut,” kata Steven.

Paling mengejutkan apabila Sultan Johor turut menyifatkan GST sebagai ‘langkah tidak masuk akal ketika bertitah dalam upacara perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Johor dan bertitah agar Kerajaan Tempatan Johor membatalkan GST di Johor.

“Kerajaan mendakwa telah menjalankan kajian menyeluruh tentang GST. Ini jelas satu pembohongan kerana tidak wujud perundingan antara jabatan kementerian seperti yang disuarakan..

“GST adalah dasar paling tidak bertanggungjawab dilaksanakan di bawah rejim UMNO dan Najib.

“Sehingga pra-syarat ekonomi yang sesuai dipenuhi, GST mesti dihapuskan dengan segera,” ujar Steven. – Roketkini.com