Berita

Malaysia jangan buat ‘tak nampak’ dan ‘tak dengar’ untuk tangani isu pelarian

Gambar: Antara pelarian wanita dan kanak-kanak Rohingya 

PETALING JAYA, 13 MEI: Malaysia tidak boleh meneruskan sikap ‘tak nampak’ dan ‘tak dengar’ berhubung dasar terhadap pelarian yang semakin bertambah di negara ini, kata ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Ujarnya, ini kerana Malaysia menjadi salah satu daripada destinasi utama pelarian di Asia Tenggara berjumlah 250.930 orang dengan 115.700 daripadanya adalah pelarian politik, pencari suaka, warga tanpa negara dan sebagainya.

Memetik laporan ‘Irregular Maritime Movement’ oleh UNHCR (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian), dianggarkan kira-kira 25,000 orang hanyut telah bertolak dari Teluk Bengal pada suku pertama 2015 dengan harapan untuk sampai ke Malaysia menerusi jalan laut.

“Kita kekurangan rangka pentadbiran dan perundangan untuk menangani masalah pelarian, manakala hubungan kerja antara UNHCR dengan kerajaan Malaysia hanya terhad kepada pencegahan pengusiran dan pengurusan tahanan,” kata Bee Yin dalam datu kenyataan.

Ujarnya, pelarian yang ditakrif UNHCR hanya dibenarkan untuk bekerja secara tidak rasmi dan biasanya dengan bayaran yang sangat renda, manakala dan kanak-kanak pelarian tidak dibenarkan ke sekolah kebangsaan.

“Keadaan seperti ini jika tidak ditangani dengan betul akan mendatangkan masalah sosial seperti kanak-kanak tanpa negara, kemiskinan dan jenayah,” ujar Bee Yin.

“Oleh kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen 1951 mengenai Status Pelarian dan Protokol 1967 bagi mengiktiraf hak pelarian, dasar semasa kerajaan hanyalah menerima pelarian ke negara ini buat sementara waktu.

“Mereka akan menunggu untuk ditempatkan semula ke negara-negara ketiga termasuk Australia, Kanada, Republik Czech, Denmark, New Zealand, Norway dan Amerika Syarikat.

“Sistem dan sikap ‘tak nampak’ dan ‘tak dengar’ oleh kerajaan seolah-olah menunjukkan bahawa pelarian tidak wujud di negara ini,” kata Bee Yin.

Justeru itu kata Bee Yin, persoalan kini adalah sama ada Malaysia mengekalkan dasar status quo dalam menghadapi peningkatan bilangan pelarian dalam keadaan status dan hak-hak mereka belum diiktiraf.

“Apa penyelesaian rentas sempadan yang patut dilakukan? Bagaimana boleh mendapatkan pembiayaan masyarakat antarabangsa untuk membantu pengurusan pelarian di Malaysia?

“Bolehkah pelarian di Malaysia berterusan bekerja dengan gaji rendah, hidup dalam keadaan miskin tetapi tidak menimbulkan masalah keselamatan kepada kita? soalnya.

Dalam pada itu Bee Yin turut menyatakan kebimbangannya berhubung kanak-kanak pelarian yang tidak mendapat pendidikan formal, selain isu perlindungan terhadap pelarian wanita dari eksploitasi seks.

“Kami percaya isu pelarian di Malaysia dapat ditangani dengan lebih komprehensif, dan kerajaan boleh mengambil tanggungjawab lebih besar bagi membantu usaha-usaha yang dibuat UNHCR dan NGO.

“Kami menyeru kerajaan membentuk jawatankuasa non-partisan yang terdiri daripada wakil parti politik, NGO berkaitan dan pertubuhan antarabangsa seperti UNHCR untuk menerajui pembaharuan dalam rangka kerja pentadbiran dan perundangan bagi menangani isu pelarian,” kata Bee Yin. – Roketkini.com