Berita

Ulang-alik percuma sempena Hari Kebebasan Media

PETALING JAYA, 15 MEI: Pengunjung yang ingin menyertai festival Hari Kebebasan Media Sedunia di Malaysiakini esok tetapi tiada kenderaan boleh menggunakan kemudahan pengangkutan percuma disediakan kerajaan Selangor.

Penganjur Gerakan Media Marah (GERAMM) dalam kenyataannya hari ini berkata, kemudahan pengangkutan bermula di stesen LRT Taman Jaya (berdekatan pusat beli-belah Amcorp Mall), Petaling Jaya pada jam 1.30 petang.

Dua van digunakan berulang-alik ke Malaysiakini, lokasi sambutan selama lebih lapan jam bermula 2 petang, yang terletak kira-kira 2 kilometer dari pusat beli-belah terkenal itu.

Kemudahan dua buah van ini disediakan dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor.

“Pelajar, mahasiswa, anak muda dan pengunjung yang tiada kenderaan, boleh mengambil van percuma dari stesen LRT Taman Jaya (Amcorp Mall) pergi ke-balik dari Malaysiakini,” kata kumpulan wartawan itu.

Jadual perjalanan kemudahan van percuma tersebut seperti berikut:

1.30-2.30 petang: ulang-alik bawa pengunjung ke Malaysiakini.

3.30-4.30 petang: ulang-alik bawa pengunjung ke Malaysiakini dan bawa balik ke stesen LRT

7-8 malam: ulang-alik bawa pengunjung ke Malaysiakini dan bawa balik ke stesen LRT

10.30-11 malam: ulang-alik bawa pengunjung balik ke stesen LRT

Selain itu, GERAMM juga mengumumkan sambutan memberangsangkan daripada penerbit dan pengedar buku-buku indie dan pro-kebebasan.

Penerbit-penerbit popular seperti DuBook Press, Institut Kajian Dasar (IKD) dan Merpati Jingga juga mengedarkan buku mereka di festival ini.

Penerbit-penerbit lain termasuklah Thukul Cetak, Neon Terbit, Cukong Press dan Legasi Oakheart.

Sambutan ini dimulakan dengan forum isu pengharaman buku di negara ini. Pembicara sesi pertama ini disertai tiga penulis muda yan sedang melonjak naik: Wan Ji Wan Hussin, Zul Fikri Zamir dan Benz Ali.

Forum kedua pula mengenai trend portal baru (bukan politik) yang jarang dibahaskan seperti kemunculan Cilisos, Siakap Keli, Oh Bulan, Voket, Says.com dan Poskod.

Editor-editor berpengalaman membahaskan sesi ini termasuklah Chak (Cilisos), Terence Fernandez (The Edge) dan Noor Azam Shairi (Astro Awani)

Sambutan Hari Kebebasan Akhbar ini diakhiri dengan majlis pelancaran projek buku bertemakan kebebasan media oleh GERAMM dan tayangan filem ‘thriller’ aksi politik dan kewartawanan ‘The Company You Keep’. – Roketkini.com