Berita

Laporan terlibat penipuan, anak Najib disaran saman TV Thailand

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Anak kedua kepada Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Najib disaran mengambil tindakan undang-undang terhadap stesen TV Thailand, NOW 26 yang didakwa membuat laporan palsu terhadapnya.

NOW 26 dalam satu laporannya menimbulkan persoalan tentang sama ada syarikat Ufun Group Bhd Ltd, didakwa menjalankan skim penipuan Ponzi dan mempunyai kaitan dengan Nazifuddin, anak kedua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Nazifuddin tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengambil tindakan undang-undang terhadap stesen TV terbabit bagi membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti Ponzi oleh Ufun.

“Jika ini (saman) tidak dilakukan, bermakna laporan berita NOW 26 adalah benar belaka

“Pihak kerajaan mesti memberi tekanan kepada Thailand supaya tindakan diambil terhadap stesen TV NOW 26 kerana membuat laporan palsu,” kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam satu kenyataan.

Nazifuddin semalam dilaporkan menafikan sebarang kaitan dengan Ufun Group, selain telah meletakkan jawatannya sebagai pengarah dan pengerusi syarikat Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd yang mempunyai kaitan dengan Ufun, hampir tiga tahun lalu.

Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak polis, Bank Negara dan juga kedutaan Thailand sendiri beberapa tahun lalu.

Justeru itu ujar Lip Eng, laporan berita itu bukan sahaja mempersoalkan profesionalisme dan kredibiliti pihak berkuasa negara, daripada Bank Negara sehinggalah ke PDRM, malah merosakkan reputasi Perdana Menteri sendiri. – Roketkini.com