Berita

Zairil Khir: Di mana ada Ismee, ada cerita 1MDB

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Tindakan Pengerusi Takaful Malaysia Tan Sri Ismee Ismail yang dilihat sentiasa menjaga kepentingan 1MDB menarik perhatian Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Menurut Zairil, pada 2009 Takaful Malaysia membeli bon daripada 1MDB bernilai RM85 juta dan ia menyaksikan pembabitan Ismee secara tidak langsung dalam transaksi pembelian itu.

“Walaupun pelantikan Ismee sebagai Pengerusi Takaful Malaysia berlaku beberapa bulan selepas pembelian bon itu, hakikatnya Takaful Malaysia dikawal BIMB Holdings melalui pegangan ekuiti.

“BIMB Holdings sendiri dimiliki dan dikawal Lembaga Tabung Haji dan Ismee adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Tabung Haji sejak tahun 2006.

“Dalam erti kata lain, tanggungjawab itu terkait dengna Ismee,” terang Zairil.

Kenyataan itu dibuat ketika isu pembelian tanah 1MDB oleh beberapa agensi seperti Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pekerja masih belum dapat dijelaskan dengan memuaskan.

Transaksi itu dilihat sebagai cubaan kerajaan menyelamatkan 1MDB daripada belenggu hutang bernilai RM42 bilion.

1MDB bukan saja dikritik pembangkang, malah turut mencetuskan kemarahan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zairil berkata, laporan media jelas menunjukkan kedudukan Ismee seolah-olah dirancang apabila beliau – sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji – juga bekrhidmat untuk 1MDB.

“Nampaknya terlalu banyak kebetulan. Sudah tentu kita dapat melihat ke mana sahaja Ismee pergi, kepentingan 1MDB dipertahankan,” katanya.

Justeru, demi ketelusan dan kepentingan awam, kata Zairil, Takaful Malaysia perlu mendedahkan butiran penuh pembelian bon RM85 juta itu, termasuk harga yang dibayar untuk setiap ringgit bon dan sama ada pembelian itu dibuat secara langsung atau melalui pasaran sekunder.

Untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat, Zairil berpendapat, kerajaan mesti menghentikan semua urus niaga 1MDB.

“Jika ia gagal dilakukan, tahap keyakinan kemampuan tadbir urus korporat di Malaysia akan terjejas teruk,” katanya. – Roketkini.com