Berita

Adakah Rohingya pelarian kelas kedua?

SIK, 17 MEI: Kelemahan undang-undang serta prosedur mengawal pelarian dan pemohon suaka politik yang tidak konsisten menyebabkan nasib pelarian Rohingya ‘tidak sebaik’ dialami warga Bosnia.

Justeru DAP mendesak kerajaan segera mengambil tindakan sewajarnya supaya krisis pelarian etnik Rohingya dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, Batu Kawan Kasthuri Patto dan Bukit Mertajam Steven Sim berkata ada beberapa langkah boleh diambil kerajaan bagi memastikan isu berkenaan boleh diurus dengan lebih baik.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata situasi semasa berbeza sekali daripada apa yang pernah dialami pelarian Vietnam pada 1979 dan Bosnia pada 1990.

Malaysia juga pernah menerima pelarian Kemboja dan Selatan Filipina.

“Sebelum ini, 10,000 orang Islam Kemboja ditempatkan di Malaysia, manakala kira-kira 120,000 pelarian Islam dari selatan Filipina diberikan perlindungan sejak beberapa dekad yang lalu,” kata kenyataan itu.

Antara langkah yang boleh diambil, menurut mereka, ialah mewujudkan pusat krisis bagi mengumpulkan maklumat berkaitan, selain menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian sambil melibatkan Kerajaan Myanmar dalam penyelesaian isu dalaman negara itu.

“Pada masa yang sama, undang-undang domestik perlu dikemas kini kerana undang-undang imigresen pada waktu ini tidak membezakan pendatang tanpa izin, pencari suaka atau pelarian.

“Pada pandangan kerajaan, mereka semua menyalahi undang-undang dan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menahan dan mengusir golongan terbabit.

“Dan pastinya menyapu isu ini di bawah tikar tidak menyelesaikan apa-apa,” kata kenyataan berkenaan. – Roketkini.com