Berita

Abdul Hadi penghalang kabinet bayangan PR

Oleh: Aliff Fikri

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan usaha Pakatan Rakyat untuk memulihkan sistem Jawatankuasa Kabinet Bayangan tidak mungkin kesampaian selagi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan memberikan kerjasama.

Beliau berkata, untuk mewujudkan kabinet bayangan, perlu ada rundingan sesama pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Namun, kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu, dalam keadaan sekarang beliau tidak yakin perundingan berkenaan boleh dilakukan.

“Bercakap tentang kabinet bayangan, saya sebetulnya tidak yakin mengenai perkara ini kerana tidak ada perundingan antara sesama kita (PKR, DAP dan PAS),” katanya.

Guan Eng berkata, keadaan juga sukar kerana Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri belum berunding dengan sesiapa pun mengenai idea berkenaan.

“Malah Kak Wan (Wan Azizah) sendiri masih belum berunding dengan partinya. Inikan pula untuk berunding dengan kami (DAP) dan Abdul Hadi,” katanya ketika majlis pelancaran Pejabat Penang Institute Cawangan Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam media melaporkan Dr Wan Azizah membayangkan PR akan mewujudkan kabinet bayangan untuk memperkukuhkan timbang tara dalam kerajaan serta menjaga kepentingan rakyat.

Kata beliau, perbincangan hati ke hati akan diadakan sesama pemimpin parti dalam PR dengan mengambil kira dasar bersama pakatan berkenaan.

Guan Eng berkata, beliau turut sangsi jika Abdul Hadi terus menerajui PAS selepas muktamar bulan depan, agenda bersama ke arah perubahan pasti sukar untuk berlaku.

“Saya yakin kemungkinan Abdul Hadi untuk menang itu tinggi dan jika ia terjadi pastinya sukar bagi PR mencapai kata sepakat.

“Buat masa ini, mungkin kita perlu tubuhkan satu kabinet bayangan dalam DAP,” ujarnya. -Roketkini.com