Rencana

GST: MB Johor perlu nasihat Pusat dulu

Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin semasa Perbahasan Titah Diraja di Dewan Undangan Negeri Johor membangkitkan soalan berhubung tempoh diperlukan rakyat Malaysia untuk menerima pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Khaled juga menyatakan kerajaan tidak tergesa-gesa melaksanakan GST kerana telah lebih 20 tahun menjalankan kajian berhubung perkara ini.

Saya ingin membuat sedikit perbandingan dengan negara jiran, Singapura yang melaksanakan GST pada 1 April 1994 pada kadar 3% dengan jaminan tiada kenaikan kadar selama sekurang-kurangnya lima tahun.

Kadar ini adalah antara peratusan pengenalan GST terendah di dunia kerana hasrat awal Singapura bukan meraih hasil pendapatan, sebaliknya memberi masa kepada rakyat negara itu menyesuaikan diri. Hanya selepas hampir 10 tahun melaksanakan GST, kadarnya dinaikkan kepada 4% pada 2003 dan 5% pada 2004.

Berbeza dengan Malaysia. Sejak awal GST dicanangkan mampu menambah pendapatan kerajaan. Maka, tidak hairan kadar pengenalan tinggi dikenakan. Sekalipun terdesak untuk melaksanakan GST, kerajaan perlu mencontohi Singapura yang bermula dengan kadar minima untuk sela masa yang panjang.

Khaled pasti mengetahui bahawa semenjak 1945 sehingga 1998, Malaysia adalah salah satu daripada 13 negara yang mencapai pertumbuhan ekonomi melebihi 7% selama lebih dari 53 tahun.

Namun, selepas kegawatan ekonomi pada 1998, ditambah urus tadbir caca-marba, pertumbuhan ekonomi Malaysia jatuh secara purata dalam tempoh sepuluh tahun kepada 5%, dan banyak didorong permintaan domestik berbanding 7% pada tahun 90-an yang didorong sektor eksport.

Kegagalan kerajaan mengurus ekonomi negara juga menimbulkan persoalan. Paras hutang kerajaan semakin meningkat tahun demi tahun menghampiri had siling 55% daripada KDNK.

Kerajaan membelanjakan kira-kira RM 10 bilion setahun hanya untuk membayar faedah dari hutang-hutang ini. Pada masa yang sama, lebihan akaun semasa menurun dari RM102 bilion pada 2012 kepada RM37 bilion pada 2013.

Kerajaan juga terus gagal meningkatkan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Pada 2014, Malaysia berada di kedudukan ke-50 daripada 175 buah negara, berbanding tahun 2003 di kedudukan ke-37. Hal sama berlaku dalam Laporan Global Financial Integrity, dengan Malaysia menduduki tempat ke-4 aliran keluar dana haram berjumlah RM880 billion (2002-2011).

Kerajaan Persekutuan ketika ini lebih gemar mengamalkan trend belanja pengurusan besar. Sejak 1970 hingga 2015, perbelanjaan mengurus kerajaan meningkat daripada RM2.2 bilion kepada RM223.4 bilion dengan komponen terbesar adalah gaji kakitangan kerajaan.

Untuk peringatan, Malaysia memiliki nisbah kakitangan kerajaan tertinggi di dunia, iaitu 1.4 juta atau 10% dari seluruh tenaga kerja di negara ini.

Kerajaan gagal membangunkan modal insan. Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), tahap produktiviti pekerja negara ini jauh lebih rendah berbanding Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Korea Selatan dan Singapura.

Dalam pada itu, hutang isi rumah Malaysia mencecah 87% daripada jumlah KDNK, iaitu tertinggi di kalangan negara Asia.

Walaupun terdapat pandangan mengatakan hutang isi rumah memberikan keadaan positif kepada negara berikutan pertumbuhan ekonomi bergantung kepada permintaan domestik, namun jika tidak dikawal, hutang isi rumah di Malaysia boleh melebihi 100% KDNK.

Ini bererti pendapatan yang diperolehi tidak cukup untuk membayar hutang terkumpul.

Kadar kenaikan gaji di negara ini juga perlahan. Mengikut Payscale.com, purata kenaikan gaji Malaysia hanya sekitar 3.5%, berbanding Indonesia 9.8%, Singapura 12% dan Thailand 5.8%.

Justeru, Khaled Nordin sepatutnya bertanya kepada Menteri Kewangan berhubung peratusan pulangan hasil GST kepada kerajaan negeri.

Negeri yang mempunyai populasi tinggi berpotensi memungut cukai yang banyak. Adalah baik sekiranya rundingan pulangan menang-menang antara Persekutuan dan negeri yang memberi manfaat, khususnya kepada rakyat Johor.

Selain itu, langkah kerajaan Johor menyerap GST bayaran Pihak Berkuasa Tempatan juga tidak tepat. Walaupun rakyat tidak membayar secara langsung, namun kerajaan negeri tetap perlu membayar kepada kerajaan Persekutuan yang menyebabkan pendapatan berkurangan.

Kerajaan Johor perlu memulakan usaha rundingan dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memasukkan operasi PBT ke dalam kategori berkadar sifar.

Khaled Nordin sebagai ahli politik yang pernah menduduki Kabinet dan kini mengetuai jentera pentadbiran Johor sudah tentu memahami kegagalan demi kegagalan urus-tadbir yang menyaksikan negara kehilangan daya saing dan penyusutan hasil hingga terpaksa memperkenalkan GST.

Khaled sepatutnya bertanya kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan; bilakah kerajaan Persekutuan akan mengamalkan urus-tadbir yang baik dan perbelanjaan berhemah, sebelum bertanya sama ada rakyat sudah bersedia berdepan GST.  – Roketkini.com

Ahmad Anwar Asyraf adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor