Berita

Sumbangan RM3 juta: BN Pulau Pinang usah main wayang

GEORGE TOWN, 20 MEI: Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow hanya membuat tuduhan liar berhubung status sumbangan RM3 juta Klassik Tropika Development Sdn Bhd kepada Tabung Warisan Negeri tanpa membuat penyelidikan.

Dalam satu kenyataan semalam Teng mempersoalkan status sumbangan tersebut, berikutan jawapan kerajaan negeri di sidang DUN menjelaskan bahawa Tabung Warisan Negeri tidak wujud.

Ketua Bahagian Belanjawan Jabatan Kewangan Pulau Pinang, Hashimah Mohamed Hashim menjelaskan kerajaan negeri tidak pernah menubuhkan akaun amanah Tabung Warisan Negeri.

Sebalikmya, kata Hashimah, terdapat akaun amanah Jawatankuasa Pusat Warisan yang ditubuhkan pada 2003 menurut Seksyen 9 (1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61], namun ditutup pada 2013 kerana tidak diperlukan setelah kewujudan George Town World Heritage Incorporated.

“Semasa penutupan, akaun amanah tersebut berbaki RM351.04 yang dikreditkan ke Akaun Hasil Negeri.

“Memandangkan tidak diwujudkan Tabung Warisan Negeri, maka tidak ada pembayaran sumbangan oleh mana-mana pihak,” kata Hashimah.

Beliau menjelaskan, sumbangan RM3 juta yang dipertikaikan Teng itu dibuat Mah Sing Group, syarikat induk Klassik Tropika atas nama Majlis Kebudayaan Pulau Pinang, bertujuan mendapat pelepasan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Sumbangan terlibat masih dalam tabungan akaun Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Justeru, kata Hashimah, tuduhan Teng bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak mengamalkan urus tadbir Cekap Akauntabiliti dan Telus (CAT) jelas merupakan fitnah jahat.

“Diharap fakta diberikan menyelesaikan perkara yang tidak sepatutnya menimbulkan tuduhan tidak berasas dan cuba mencemar pentadbiran Jabatan Kewangan Negeri yang dipuji setiap tahun atas prestasi cemerlang oleh Ketua Audit Negara,” tegas Hashimah. – Roketkini.com