Berita, Isu Semasa

Siasatan 1MDB: DAP mahu siaran langsung

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Proses siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kandasamy dan bekas CEO syarikat bermasalah itu, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi sepatutnya disiarkan secara langsung, kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Kata Lip Eng, langkah itu perlu kerana ia bertepatan dengan kedudukan siasatan yang merupakan krisis nasional.

Lip Eng“Siaran langsung melalui televisyen atau sekurang-kurangnya livestream di internet boleh dilakukan dengan memohon Speaker Parlimen Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan Aturan 85 daripada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Kami percaya, Pandikar yang baru-baru ini tidak jadi berhenti dan mempunyai aspirasi tinggi untuk berlaku telus serta mahu melakukan pembaikan parlimen akan bersetuju dengan cadangan ini,” katanya dalam kenyataan.

Lip Eng berkata, beliau telah menghantar surat kepada Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed semalam bagi membenarkan siaran langsung dibuat.

“Kami percaya bahawa semua Ahli Jawatankuasa PAC dari kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) akan menyokong cadangan ini, sekiranya mereka yakin bahawa tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan dalam kemelut 1MDB.

PAC telah memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB 19 Mei lalu di Bangunan Parlimen.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar Abdullah telah hadir pada prosiding tersebut bagi memberikan penjelasan.  – Roketkini.com