Berita

Gempa Sabah: Pulau Pinang hulur RM100,000

GEORGE TOWN, 7 JUN: Kerajaan Pulau Pinang akan menghulurkan bantuan sebanyak RM100,000 kepada mangsa yang terjejas akibat gempa bumi di Sabah, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

“Saya akan cadangkan kepada Exco apabila kita bermesyuarat minggu depan untuk memperuntukkan RM100,000 bagi membantu mereka yang terjejas dalam malapetaka ini.

“Ini adalah sebagai tanda solidariti, simpati dan sokongan ke atas mangsa-mangsa tersebut,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah ‘Larian Menara Komtar 2015’, hari ini.

Guan Eng berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan melalui wakil rakyat DAP Sabah antaranya Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada individu yang terkorban dalam gempa bumi itu.

“Kehilangan nyawa ini, khususnya mereka yang mendaki Gunung Kinabalu adalah sesuatu yang amat menyedihkan,” ujarnya.

Mengikut laporan semalam, sebanyak 9 mayat pendaki dan malim gunung mangsa gempa bumi telah berjaya dikeluarkan dalam operasi mencari dan menyelamat di Gunung Kinabalu.

Peningkatan itu menjadikan 16 mayat sudah ditemui sehingga kini termasuk dua yang sudah dikenalpasti – seorang malim gunung dan remaja Singapura berusia 12 tahun.

Gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter tersebut dilaporkan paling kuat pernah berlaku di Malaysia dalam tempoh 39 tahun sejak 1976.

Gegaran itu mengatasi rekod gempa bumi terkuat yang berlaku pada 1976, berukuran 5.8 pada skala Richter di Lahad Datu, mengakibatkan kerosakan harta benda. – Roketkini.com