Berita

Siasatan PAC perlu terbuka, disiar media

KUALA LUMPUR, 7 JUN: DAP menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara PAC) agar membenarkan liputan media dan penelitian awam dalam prosiding siasatan sebagai bukti kebertanggungjawaban.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, cadangan tersebut wajar dilakukan berdasarkan amalan tiga perempat negara Komanwel yang telah melaksanakannya.

“Jika prosiding Parlimen boleh dibuka kepada orang ramai, mengapa pendengaran sesuatu jawatankuasa di dalam Parlimen dibuat secara tertutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ironinya kata Tony, negara Afrika sendiri mengamalkan keterbukaan PAC, meskipun sering digelar ‘kurang membangun’.

Tambah Tony, pengecualian boleh dibuat sekiranya melibatkan keselamatan negara, namun jarang berlaku.

“Sebagai contoh, mengapa pendengaran berkaitan isu seperti 1BestariNet, National Feedlot Corporation (NFC), projek KLIA1 atau siasatan 1MDB tidak didedahkan kepada umum kerana tidak menyentuh apa-apa perkara melibatkan keselamatan negara?

“Ia sudah tentu boleh mencemar dan memalukan imej menteri tertentu, tapi itu tidak sepatutnya menjadi kebimbangan PAC,” kata Tony.

Sebelum ini pada 5 Jun lalu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng telah memohon agar proses siasatan PAC ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kandasamy dan seorang lagi bekas CEO disiarkan secara langsung untuk tatapan umum kerana ia merupakan krisis nasional. – Roketkini.com