Berita, Rencana

Kerana berdua lebih baik

(Salah satu kain rentang yang pernah dinaikkan di Kuala Lumpur)

Senario terkini politik negara adalah sesuatu yang sudah dijangka. Ramai yang meramalkan akan ada sesuatu untuk menggugat Pakatan Rakyat ini.

Akhirnya, perkara yang dibimbangi itu menjadi kenyataan. Betapa caca-marbanya keadaan PAS kini pada era pascamuktamar 2015. Perhimpunan yang sepatutnya mengukuhkan PR menjadi medan serangan bertali arus ahli parti itu kepada rakan sendiri.

Pada masa sama, PAS sebagai parti pembangkang, tiada sekelumit pun serangan khas buat agensi 1MDB atau perdana menteri.

PAS untuk semua?

PAS untuk semua?

Buat penyokong PR, pastinya ini tragedi mengerikan. Para pemerhati politik pastinya kecewa besar dengan kebobrokan ini.

Tatkala UMNO dan BN terlalu lemah dengan krisis keyakinan rakyat dan masalah dalaman, sesetengah pemimpin pembangkang pula terhegeh-hegeh mahu menyulam cinta dengan mereka.

Negatif dan kecewa. Perasaan begitu dikongsi bukan saja ahli PAS malah orang ramai secara umum, termasuk kumpulan atas pagar.

Kesepakatan yang dibina sejak 8 Mac 2008 bergoncang lagi untuk kesekian kalinya. Cuma kali ini gegarannya luar biasa.

Namun pada setiap masalah pasti ada hikmahnya. Sisi positifnya masih ada. Mungkin wujud harapan baru untuk PAS dan UMNO. Mungkin takdir tertulis bahawa akan wujud kerajaan perpaduan atau perpaduan PAS dan UMNO. Gabungan ini bakal menjadi koalisi paling popular.

Gabungan PAS dan UMNO

Manakan tidak. Jika dihitung-hitung populasi negara, 60 peratus rakyat Malaysia adalah Islam dan Melayu. Jumlah ini sudah cukup untuk menguasai ruang parlimen dan membentuk kerajaan. Undi popular untuk gabungan PAS dan UMNO barangkali boleh meningkat sehingga ke 58 peratus.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia suatu percaturan yang cukup hebat, malah PAS akan mendapat kerusi yang lebih banyak daripada bergabung dengan PR. UMNO pula pasti akan menyerahkan kerusi mereka yang di kawasan pedalaman kepada PAS. UMNO akan bertumpu kerusi kawasan separa bandar dan bandar.

Dalam keadaan begitu, modus operandi PAS adalah mudah saja. PAS hanya perlu menarik undi orang Islam. Pengundi lain boleh saja disiku dan lututkan. Paling tidak, PAS boleh menjentik saja mereka ini seperti diilhamkan seorang ahli Jawatankuasa PAS Pusat dulu.

Bagi UMNO, kewujudan BN mungkin tidak lagi sepenting dulu. Apa perlunya gabungan pelbagai parti jika UMNO sudah memiliki parti sehebat PAS? Biarkan saja parti lain menumpang belas ihsan dengan satu dua kerusi.

Kerajaan Perpaduan?

Gabungan bersama PAS lebih bahagia, pengundi alim boleh mengundi PAS, manakala yang tebal semangat Melayu, boleh mengundi UMNO. Bukankah ini perpaduan bangsa dan agama yang diidam-idamkan? Bukankah ini yang diidamkan oleh kedua-dua parti ini?

Oh ya, kalau penyatuan ini berjaya, peluang PAS untuk menjadi menteri besar di Terengganu, Kedah dan Kelantan akan menjadi kenyataan. Dakwah juga akan diperluaskan ke setiap negeri tanpa halangan.

Masakan UMNO akan menghalang mereka. Mereka sudah berpadu. Inilah hikmah yang bakal terjadi jika penyatuan PAS UMNO menjadi kenyataan. Seperti pepatah Inggeris, (cuba mencari pepatah Arab untuk nampak Islamik tetapi gagal), “If you can’t beat them, join them”.

Mungkin inilah strategi pascamuktamar. Gabungan bersama UMNO akan membuahkan hasil mahsul yang lumayan dan habuan berlipat ganda dari Pulau Pinang dan Selangor. Jawatan pula pastinya melimpah-ruah dan hal ini baik untuk mereka untuk berdakwah nanti.

Soal ekonomi dan tadbir urus, PAS boleh serahkan kepada UMNO yang menguruskannya. Mereka pun lebih mahir dan tidaklah sejahat Firaun, Cuma sedikit nakal sahaja. – Roketkini.com