Berita, Isu Semasa

Nie Ching: Tiada pelan tindakan untuk OKU

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Janji menyediakan 16,000 peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dilihat sebagai satu lagi janji manis kerajaan setelah sasaran untuk mencipta satu peratus peluang pekerjaan setahun sejak 1998 gagal dicapai.

Menurut Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, dasar satu peratus peluang pekerjaan setahun diperkenal kerajaan pada 1998 dan disahkan dalam Pekeliling Perkhidmatan 1998 dan 2013.

Disifatkan gagal melaksanakan dasar tersebut, kerajaan bagaimanapun sekali lagi menabur janji dalam Rancangan Malaysia ke-11 untuk menyediakan 16,000 peluang pekerjaan khusus untuk OKU.

“Walaupun dasar ini wujud lebih dari 17 tahun, rekod setakat Disember 2014, terdapat hanya 3741 orang kurang upaya bekerja di sektor awam atau hanya 0.27 peratus.

“Dalam erti kata lain, untuk melaksanakan janji RMK, kerajaan perlu merekrut 3,200 OKU setiap tahun.

“Bagaimanapun untuk tempoh 17 tahun, kerajaan hanya mampu merekrut 3,741 orang. Dalam keadaan begini, macam mana kerajaan dapat memastikan mereka mampu mencapai sasaran 16,000 orang OKU menyertai perkhidmatan awam?” soal Nie Ching.

Justeru Nie Ching menggesa kerajaan menyediakan pelan tindakan terperinci di samping meneruskan kuota satu peratus tersebut.

“Kerajaan perlu memainkan peranan melaksanakan dasar kuota 1 peratus supaya OKU boleh men gatasi prejudis dan diskriminasi, selain bekerja atas merit mereka sendiri bagi bersaing dengan pekerja normal.

“Jika tiada pelan tindakan terperinci, akses tidak adil kepada peluang pekerjaan akan tetap membelenggu golongan OKU,” katanya. – Roketkini.com