Berita

1MDB tak nafi RM262 juta dibayar untuk tanah Pulau Indah

PETALING JAYA, 19 JUN : Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak menafikan sebahagian dari pinjaman RM540 juta Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) untuk membayar baki pengambilan tanah Pulau Indah dari Tadmax Resources Bhd.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua merujuk kenyataan Arul berhubung pengesahan 1MDB mengenai pinjaman “membiayai tujuan korporat am, tetapi tidak terhad kepada keperluan modal kerja, perbelanjaan modal masa depan dan penanaman modal ekuiti perniagaan tenaga dalam Kumpulan syarikat 1MDB”.

“Tidak ada pada kedua-dua perenggan menafikan bahawa hasil atau sebahagian daripadanya digunakan untuk membayar baki RM262 juta pengambilalihan tanah Pulau Indah dari Tadmax Resources Bhd.

“Apa yang Arul lakukan adalah dengan berkias-kias, bahawa dana itu digunakan untuk pelaburan luar negara, tanpa benar-benar menyatakannya.

“Dengan cara itu, dia tidak boleh dituduh berbohong secara terang-terangan,” kata Tony dalam kenyataannya hari ini.

Dalam ucapan penangguhan di Parlimen minggu ini, Tony bertanya sama ada kerajaan menyediakan surat sokongan bagi mendapatkan pinjaman dari Exim Bank, seperti didedahkan Sarawak Report.

Tony turut bertanya sama ada kerajaan bertanggungjawab membayar hutang itu sekiranya 1MDB gagal membayarnya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong dalam jawapannya menafikan bahawa 1MDB terlebih bayar kepada Tadmex Resources Bhd, dengan RM20.80 bagi setiap kaki persegi (psf) untuk membeli tanah itu.

Kata Chua, penilaian tanah itu dilakukan syarikat bebas, sambil menambah bahawa pembeli lain turut membeli tanah di sekitar Pulau Indah pada harga antara RM55 psf dan RM66 psf.

Chua tidak pula menyebut mengenai kewajipan kerajaan sekiranya 1MDB gagal membayar pinjaman itu.

Namun beliau mengakui kerajaan mengeluarkan surat sokongan kepada 1MDB, untuk mendapatkan pinjaman RM540 juta dari Exim Bank, milik Kementerian Kewangan.

Justeru kata Tony, apa yang menyebabkan keadaan bertambah rumit adalah sikap dan penolakan berterusan Arul Kanda yang enggan menjernihkan keadaan berhubung isu 1MDB.

Tony turut menggesa Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mengotakan janjinya untuk memberi jawapan bertulis berhubung pinjaman EXIM Bank, yang tidak diterima pada petang semalam.

Sebelum ini di Parlimen, Ahmad menafikan bahawa pinjaman dari Exim Bank telah digunakan untuk transaksi hartanah dan menegaskan ia hanya digunakan bagi pembiayaan loji kuasa 1MDB di luar negara. – Roketkini.com