Berita

Henti ganggu penternak ikan air tawar dan nelayan Perak

Gambar Fail

KUALA LUMPUR, Kerajaan Perak harus menghentikan tindakan yang boleh menjejaskan kegiatan penternak ikan air tawar di negeri ini, kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Dalam satu kenyataan media katanya, ramai di kalangan penternak ikan kolam berdepan masalah apabila kerajaan negeri menghalau mereka dan mengambilalih tanah bagi tujuan pembangunan yang lain.

“Projek-projek pembangunan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membelakangkan sektor perikanan terutamanya penternakan ikan air tawar,” kat Sivakumar.

Dalam soalan lisan di Dewan Rakyat pada 17 Jun berhubung jumlah tangkapan ikan laut dan air tawar bagi 2014, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memaklumkan jumlah pengeluaran ikan adalah 1.5 juta metrik tan, dengan ikan laut (1.4 juta metrik tan) dan ikan air tawar (106,371 metrik tan).

Manakala negeri paling banyak mengeluarkan ikan pada 2014 ialah Perak sebanyak 353 ribu metrik tan, diikuti Negeri Sabah (218 ribu metrik) dan Sarawak (167 ribu metrik tan).

Dengan maklumat ini kata Sivakumar, Perak boleh disifatkan negeri paling produktif dalam sektor perikanan.

Justeru ujarnya, kerajaan Perak harus mengambil segala langkah untuk memajukan industri perikanan supaya dapat terus kekal di tangga teratas sebagai pembekal hasil laut dan air tawar yang utama.

“Dalam kes-kes tertentu, kerajaan negeri tidak serius dalam memberi bantuan terutamanya dalam hal pemberian geran tanah atau pendudukan sementara kepada penternak ikan ini.

“Tindakan seperti ini boleh menyebabkan industri tersebut terbantut.

“Walaupun penternak bersedia melabur dan membawa masuk teknologi baru, ini tidak akan berjaya sekiranya kerajaan negeri enggan memberi tanah kepada mereka,” kata Sivakumar.

Tambahya, peraturan sedia ada berkenaan industri perikanan harus disemak semula kerajaan negeri dan persekutuan demi kebajikan penternak ikan air tawar dan nelayan yang bergantung kepada bantuan dan sokongan pihak berkuasa. – Roketkini.com