Berita

Isu MARA: Siapa sembunyi maklumat?

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Seolah-olah wujud percanggahan kenyataan berhubung skandal pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) berdasarkan laporan akhbar Australia, The Age.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mengesyaki eksekutif tertinggi MARA cuba menyembunyikan bukti berhubung pembelian hartanah di Australia daripada diketahui lembaga pengarah.

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan menyebut bahawa MARA telah memulakan siasatan dua bulan lalu.

Namun, akhbar The Sun hari ini pula melaporkan soalan tersebut telah diajukan kepada CEO Mara Datuk Abdul Halim Rahim semenjak Februari, namun tidak mendapat sebarang jawapan.

Annuar mendakwa beliau hanya baru pada Selasa lalu tentang dakwaan rasuah melibatkan Dudley International House terbabit.

“Semacam ada kenyataan yang saling bercanggah.

“Ini boleh dianggap sebagai tindakan menyembunyikan bukti atau maklumat dengan sengaja,” kata Lip Eng

Tambahnya, adalah tidak bertanggungjawab bagi Annuar memberi tempoh 7 hari lagi kepada Halim semalam mengemukakan jawapan bertulis, sedangkan Halim memilih berdiam diri mengenai tuduhan terbabit sejak Februari.

“Annuar sepatutnya mengarahkan semua yang disyaki, termasuk Halim sendiri digantung tugas serta merta sementara siasatan dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa.

“Pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan juru audit Bank Negara mesti memulakan siasatan masing-masing tanpa berlengah lagi.

“Pasport mereka yang disyaki juga seharusnya ditahan dan akaun bank mereka dibekukan sementara siasatan dijalankan,” kata Lip Eng.

Dalam perkembangan terbaru, The Age hari ini melaporkan pihak berkuasa Australia menyerbu sebuah rumah di Vermont Selatan, Melbourne dan merampas komputer dan fail bagi membantu siasatan berhubung skandal melibatkan MARA.

Serbuan itu sebahagian Operasi Carambola bagi menyiasat skim yang didakwa “melibatkan rakyat Malaysia menggunakan hartanah bernilai berjuta dolar Australia untuk melabur wang dan mengembalikan ‘sogokan’ kepada Asia,”