Berita

Tiada rumah PR1MA di Pulau Pinang?

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Pengumuman kerajaan Pusat mengenai pemajuan 13 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk dimohon rakyat Malaysia melalui iklan di akhbar The Sunday Times bertarikh 21 Jun tidak menyatakan rancangan pembinaan rumah mampu milik di bawah skim tersebut di Pulau Pinang.

Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyatakan rasa terkejut apabila membaca iklan tersebut yang tidak lagi menyebut apa-apa mengenai PR1MA untuk Pulau Pinang, sama seperti pengumuman RMK-11 (Rancangan Malaysia Ke-11.

ADUN Datuk Keramat itu melahirkan rasa terkejut dengan layanan dingin Pusat yang didakwa berpunca oleh sentimen politik serta perbezaan ideologi kepartian.

Ujarnya, dalam iklan di akhbar The Star pada 26 Oktober 2014, masih disebut PR1MA akan dibina di Bandar Gelugor dan Balik Pulau.

Kata Jagdeep, dalam surat kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng pada 25 November 2014, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim masih menyebut rancangan PRIMA di Pulau Pinang dekat Bandar Gelugor, Balik Pulau dan Teluk Kumbar.

Tambah Jagdeep, pihaknya secara konsisten mengutus kira-kira 10 surat kepada Pusat sejak 20 Oktober 2013 hingga 22 April lepas, agar PR1MA boleh dibina di negeri ini.

Ujarnya, ia tidak termasuk surat yang diutus sendiri oleh Guan Eng kepada Pusat.

“Sejak PR1MA diperkenalkan pada 2012, Pulau Pinang langsung tidak mendapat projek perumahan di bawah skim ini,” ujarnya, seperti dilapor Buletin Mutiara.

“Kalau kita (rakyat Pulau Pinang) tidak membayar cukai kepada Kerajaan Pusat, saya tidak akan minta pun PR1MA, tetapi kita pembayar cukai ketiga tertinggi Malaysia.

“Kalau sektor swasta boleh datang membina perumahan mampu milik di Pulau Pinang, Kerajaan Pusat datanglah ke negeri ini kerana rakyat Pulau Pinang pun adalah rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan PR1MA,” tegas Jagdeep. – Roketkini.com