Berita

Apa Adenan Satem buat untuk Sarawak sewaktu jadi Menteri dulu?

KUCHING, 7 OGOS: Tan Sri Adenan Satem perlu menjelaskan secara terbuka kepada rakyat tentang yang telah beliau lakukan untuk Sarawak sejak berkecimpung dalam politik selama lebih 40 tahun.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, mahu Ketua Menteri Sarawak itu menyatakan:

  • Apabila menjadi Menteri Pusat, Menteri Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri, apa yang telah Adenan lakukan untuk Sarawak mendapat layanan lebih baik daripada Kerajaan Persekutuan?
  • Apa yang Adenan boleh lakukan berbanding apa yang telah dirosakkan oleh Tun Taib Mahmud selama 33 tahun sebagai Ketua Menteri dulu?
  • Apa sebenarnya hak-hak Sarawak yang Adenan perjuangkan?

“Jika setakat bercakap tentang autonomi Sarawak tanpa menyenaraikan butir-butirnya, itu hanya cakap kosong,” kata Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dalam satu kenyataan.

Menurutnya, suara Adenan akhir-akhir ini yang mendakwa Sarawak tidak mendapat layanan adil, sebenarnya mencerminkan kegagalan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri dulu.

Katanya, ia jelas menunjukkan bahawa pihak yang melakukan diskriminasi terhadap rakyat Sarawak selama ini adalah kerajaan Barisan Nasional Sarawak sendiri.

Ujar beliau yang juga merupakan Adun Kota Sentosa, Adenan telah dipilih sebagai Adun sejak 1979, dan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Pusat dan Menteri Negeri Sarawak sebelum menjadi Ketua Menteri.

Sehubungan itu, Chieng Jen berkata, rakyat Sarawak ingin tahu: “Selama ini adakah Adenan pernah bercakap tentang diskriminasi terhadap Sarawak di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri Sarawak? Adakah Adenan pernah memperjuangkan hak layanan saksama untuk Sarawak?”

Malah, beliau menambah, Adenan tidak pernah mengkritik Taib Mahmud yang memimpin negeri sewaktu “Sarawak menjadi mangsa diskriminasi” seperti yang dilaungkan oleh Adenan dan konco-konco BN Sarawak sekarang.

Dengan itu, katanya, Adenan hanya omong kosong kononnya memperjuangkan hak Sarawak sedangkan pihak yang melakukan diskriminasi terhadap rakyat adalah BN Sarawak yang menguasai keajaan hampir 1000% selama ini.

“Satu-satunya cara rakyat Sarawak menunjukkan rasa marah kerana diskriminasi selama ini ialah dengan tidak mengundi BN dalam pilihanraya negeri akan datang,” tambah beliau. – Roketkini.com