Berita

Skandal RM2.6 bilion: Jika hadiah dari Arab Saudi, mengapa tidak masuk ke akaun kerajaan?

MUAR, 18 OGOS: Berapa kali operasi ketenteraan atau kemanusiaan yang telah diberi oleh Malaysia kepada Arab Saudi sebelum Mac 2013? Jika ada, adakah bantuan tersebut diberi menggunakan wang rakyat atau dana parti politik?

Soalan-soalan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa, kepada pimpinan UMNO dan Barisan Nasional berhubung kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kuantan tentang wang RM 2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dakwaan ketua UMNO bahagian tersebut adalah kononnya ia hadiah daripada Arab Saudi sebagai menghargai usaha Malaysia melawan kumpulan militan Islamic State (IS). Wang tersebut pula dikatakan didepositkan ke akaun Najib melalui dua transaksi bertarikh 21 Mac dan 25 Mac 2013.

Teck Hwa hairan kerana jika benar bantuan diberi kepada Saudi menggunakan sumber kerajaan, mengapa wang RM2.6 bilion itu tidak diserahkan kepada kerajaan, sebaliknya dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

“Adakah UMNO menganggap bahawa kerajaan adalah milik UMNO?

“Jika UMNO memberi bantuan dalam bentuk kewangan, mengapakah tiada catatan kewangan dalam laporan kewangan dan dibentang ke Parlimen?

“Jika UMNO tidak boleh memberikan bukti yang jelas berkaitan perkara ini, adakah UMNO akan memohon maaf kepada masyarakat kerana menyebarkan maklumat palsu ini?” soal beliau dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, UMNO dan kerajaan persekutuan sepatutnya memberi penjelasan yang tepat dan tuntas, dan bukannya mengeluarkan kenyataan kabur dan mengelirukan masyarakat.

Teck Hwa berkata, perbuatan itu bukan sahaja menjadi bahan ketawa dan membangkitkan kemarahan rakyat, malah dikhuatiri akan memberikan maklumat yang salah kepada pelabur antarabangsa.

“Saya bimbang pelabur-pelabur akan mula hilang kepercayaan terhadap negara kita dan kesannya nanti adalah amat buruk bagi ekonomi kita,” tambah beliau. – Roketkini.com