Berita

Selangor sudah berjaya laksana Akta Kebebasan Maklumat, kerajaan pusat bila lagi?

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan sikap dolak-dalik Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act – FOI) yang akan membolehkan rakyat mendapatkan akses maklumat kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), Hannah Yeoh, berkata beliau kecewa dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, yang dilaporkan media sebagai berkata Malaysia belum bersedia untuk undang-undang tersebut.

Katanya, mustahil tidak ada menteri boleh usahakan proses penggubalan akta berkenaan kerana Kabinet Malaysia memang mempunyai sangat ramai menteri.

Laporan akhbar The Star semalam dengan tajuk “Paul Low: Malaysia not ready for Freedom of Information Act” memetic menteri tersebut sebagai berkata: Untuk melaksanakan FOI, anda memerlukan 300 orang untuk mengendalikan maklumat yang begitu banyak, jadi ia bukan soal Akta sahaja. Anda perlukan pegawai-pegawai maklumat. Pada masa ini, itu tidak boleh dilaksanakan.”

Menurut Hannah yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, pihak kerajaan negeri Selangor telah pun menggubal FOI sejak 2011 dan dikuatkuasakan pada 2012/13 selepas lembaga peraturan dan rayuan ditubuhkan.

Bagi menyemak pelaksanaan dan keberkesanannya, beliau berkata, Selcat telah menganjurkan pendengaran awam pada awal tahun ini di mana semua Pegawai Maklumat untuk menjelaskan apa yang telah mereka laksanakan.

“Di Selangor, kami mempunyai 41 Pegawai Maklumat. Kos latihan hanya berjumlah RM4,362 sahaja. Elaun semua Pegawai Maklumat berjumlah RM246,000.

“FOI ini seperti mana undang-undang lain memang mempunyai sedikit-sebanyak kelemahan dan memerlukan pembaikan dari semasa ke semasa. Tetapi Selcat berani bersikap terbuka untuk mengadakan pendengaran awam dan menyiarkan laporan hasilnya di laman web,” tambah beliau.

Hannah yang juga Adun Subang Jaya berkata, laporan itu sudah pun dibentang, dibahas dan diluluskan oleh DUN Selangor pada April lalu.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa iltizam politik amat diperlukan untuk melaksanakan FOI.

“Tanpa iltizam politik, itulah yang kita akan dapat daripada Paul Low – hanya alasan.

“Kerajaan yang bermasalah untuk mendedahkan maklumat kepada pembayar cukai adalah kerajaan yang ada banyak benda yang mahu disembunyikannya,” tambah beliau. – Roketkini.com