Berita

Pulau Pinang mahu Kerajaan Pusat semak semula harga rumah “mampu milik” yang tak mampu dimiliki rakyat

GEORGE TOWN, 26 OGOS: Harga seunit rumah “mampu milik” yang dicadangkan oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang, khususnya di bahagian pulau, yang mencecah hampir RM2 juta, sememangnya tidak mampu dimiliki rakyat.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, berkata harga sedemikian juga mungkin menyumbang kepada rumusan kajian Khazanah Research Institute yang menyatakan harga perumahan di Malaysia sekarang langsung tidak mampu dimiliki.

Menurutnya, keuntungan tidak sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan kerana ia bertanggungjawab membekalkan unit perumahan yang mampu dimiliki.

“Kerajaan Pusat sepatutnya mengetepikan keuntungan hampir RM150 juta yang akan diraih melalui 15 projeknya melalui agensi-agensi Kerajaan Pusat, sebaliknya membina unit-unit perumahan mampu milik yang benar-benar dapat dimiliki oleh rakyat jelata, termasuk warga negeri Pulau Pinang,” kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, perlu bertanggungjawab dengan meletak jawatan.

Jagdeep juga mahu Kerajaan Pusat mengambil langkah-langkah yang segera untuk menangani dan mengatasi masalah itu:

* Menyegerakan penyemakan harga jualan unit perumahan oleh agensi Persekutuan;

* Menyegerakan perlaksanaan projek perumahan mampu milik Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pulau Pinang; dan

* Menyegerakan kelulusan permohonan permit mengiklan dan lesen pemaju (APDL) oleh pemaju di Pulau Pinang.

Selain itu, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan agar mengarahkan agensi-agensi Persekutuan di Pulau Pinang seperti JKP Sdn Bhd dan PERDA menyemak semula harga jualan unit perumahannya kepada harga mampu milik,  iaitu di antara RM200,000.00 dan RM400,000.00 di bahagian pulau, dan RM150,000.00 dan RM250,000.00 di bahagian Seberang Perai.

“Sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat menyelaraskan harga jualannya kepada harga yang dicadangkan iaitu harga kos rendah, kos sederhana rendah dan kos mampu milik, kerajaan negeri akan meluluskannya.

“Malahan, untuk rekod, projek-projek JKP Sdn. Bhd. yang telah pun mematuhi syarat tersebut sememangnya telahpun diluluskan permohonan kebenaran merancangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada ini, beliau yang juga Adun Dato Keramat berkata, Kerajaan Pusat seharusnya mempergiatkan usahanya di dalam membina perumahan mampu milik di bawah PR1MA.

“Ingin saya pohon penjelasan daripada PR1MA sama ada 194,456 unit perumahan mampu milik sudah disiapkan olehnya sepertimana dilaporkan di dalam akhbar The New Straits Times? Sekiranya benar, di manakah ia dibina?” soal beliau.

Sejak Akta PR1MA 2012 digubalkan, banyak pengumuman telah dibuat oleh pelbagai wakil Kerajaan Pusat, bahawa perumahan mampu milik PR1MA akan dibina di Pulau Pinang. Pengumuman ini dibuat, antara lain, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Abdul Rahman.

Namun demikian, Jagdeep berkata, walaupun beliau telah berulang-kali memohon agar perlaksanaan projek perumahan mampu milik di bawah PR1MA dilakukan dengan seberapa cepat mungkin di Pulau Pinang, tiada satu unit perumahan mampu milik PR1MA pun yang dibina setakat ini.

“Walaubagaimanapun, saya ingin mengumumkan bahawa satu mesyuarat telah diadakan semalam di antara saya dan wakil-wakil dari PR1MA. Saya menyifatkan perjumpaan tersebut sebagai satu langkah yang positif terhadap pelaksanaan projek perumahan mampu milik dibawah PR1MA di negeri Pulau Pinang, dan adalah diharapkan emosi dan politik tidak akan mencemarkan usaha ini,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan perumahan mampu milik melalui PR1MA kerana rakyat Pulau Pinang sebagai pembayar cukai yang ketiga tertinggi di Malaysia (pada 2014, RM6.9 billion telah dibayar oleh rakyat Pulau Pinang kepada Kerajaan Pusat), mereka berhak diberikan perumahan mampu milik oleh Kerajaan Pusat.

“Saya berharap Kerajaan Pusat berhenti bermain politik dalam usaha membekalkan perumahan mampu milik kepada rakyat jelata, termasuk warga negeri Pulau Pinang, terutamanya memandangkan lapuran Khazanah Research Institute tersebut yang adalah begitu mengejutkan dan membimbangkan untuk seluruh warga Malaysia,” katanya. – Roketkini.com