Berita

Penduduk Kampung Ulu Temiang menangis dihalau macam binatang

SEREMBAN 30 SEPT: Sebahagian penduduk Kampung Ulu Temiang di sini menangis teresak-esak mengenangkan nasib hidup selepas diarah keluar dari kampung tanpa pampasan mencukupi.

“Tak ada kerja, rumah pun tak ada, elektik dan air kena potong. Macam mana tak sedih. Makcik berharap dapatlah duit pampasan yang cukup.

“Bukan senang nak hidup, anak pun susah. Api, air semua tak ada. Memang sedih Harap sangat Kerajaan (Negeri) dapat bertimbang rasa,” kata Laila Malik, 60, sambil mengesat air mata.

Seorang lagi perempuan berusia 50 tahun asyik menangis sambil memegang sepanduk ‘Jangan Tindas Kami Lagi’ dan mengulangi ungkapan: “Kami tak ada wang. Kalau ada wang, kami pindah. Tolonglah kami, kami nak hak kami. Tolonglah kami.”

Berterima kasih kepada pemimpin Pakatan Harapan, penduduk, Michael Soosay, 52, pula kesal kerana mereka tidak diberi pampasan mencukupi ketika harga mahupun sewa rumah melambung manakala ekonomi merudum.

“Bukan tak mahu keluar tetapi berilah pampasan secukupnya. Yang duduk kampung, ramai orang miskin dan tak mampu beli tanah sendiri, beli rumah sendiri. Rumah semua mahal.

“Mana boleh halau macam ini. Kami bukan binatang atau pendatang asing. Sekarang potong elektrik, air. Dalam kampung ramai orang tua, mana nampak waktu malam. Inilah waktu pencuri masuk rumah. Siapa mahu ganti barang kami?” katanya.

Mereka antara 100 penduduk kampung yang berarak ke Istana Negeri Sembilan diketuai Ahli Parlimen Seremban, Anthony Luke untuk menyerahkan memorandum bagi meminta campur tangan istana bagi menasihati Kerajaan Negeri.

Kebanyakan mereka sudah mendiami kampung itu sejak 40 tahun lalu sebelum tanah itu dibeli syarikat swasta untuk dimajukan. – Roketkini.com