Berita

Kenaikan NGV antara punca pendapatan teksi RM673 sebulan

KUALA LUMPUR 1 OKT: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu meneliti keluhan pemandu teksi berikutan kenaikan kos kehidupan yang mengakibatkan pendapatan mereka merosot teruk.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan kadar NGV dari RM0.68 sen ke RM1.05 sen menambahkan kesengsaraan mereka.

Beliau berkata, pengaruh kereta sapu tidak berlesen, selain syarikat seperti Uber dan servis GrabCar, menyebabkan pendapatan pemandu teksi semakin lama semakin merosot berikutan persaingan tidak sihat itu.

“Kami memberi amaran kepada kerajaan mengenai impak GST, mereka tidak endahkan. Sekarang, rakyat susah dan inilah buktinya. Adakah kerajaan masih mendiamkan diri?” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan memorandum daripada 120 pemandu teksi dari beberapa persatuan beribu pejabat di Selangor dan Kuala Lumpur di Kelana Jaya pagi semalam.

Memberi contoh pendapatan pemandu teksi di kawasan parlimen beliau, Charles berkata, mereka hanya memperoleh sekitar RM673 sebulan, jauh lebih rendah daripada penetapan kadar gaji minimum.

” SPAD mesti laksanakan peranannya sebagai pengawal selia dan merombak semula polisi untuk memastikan kebajikan pemandu teksi terjaga,” katanya yang menyifatkan situasi itu sebagai penaniayaan kelas masyarakat bawahan.

Charles juga memberi jaminan kepada mereka untuk membawa isu berkenaan ke sidang Parlimen akan datang bagi membela nasib mereka.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Teksi Mydin Klang, Sulaiman Sidek, berkata pelbagai pihak berkuasa kerap mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu teksi tetapi tiada pihak datang membela nasib mereka.

“Untuk saman kami, polis, SPAD dan Puspakom boleh ambil tindakan terhadap pemandu teksi. Bila kami susah, siapa yang bantu?” katanya. – Roketkini.com