Rencana

Menelusuri evolusi politik Islam di Malaysia (Siri II)

Evolusi Islam politikal di Malaysia terbahagi kepada tiga peringkat: Kebangkitan Islam yang menggerakkan perubahan dalam UMNO dan PAS pada 1982, kemunculan kelompok progresif PAS pada 1998 dan ‘pasca-Islamisme’ pada 2015.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu membuat perbandingan trend antarabangsa dalam perdebatan Islam politikal dan politik Islam di Malaysia kerana dalam banyak segi, politik adalah hal dalaman negara.

Bagaimanapun, trend dan label antarabangsa wajar dijadikan sumber maklumat dalam pemerhatian terhadap perubahan domestik.

Sudah tentu ia cuma pandangan peribadi saya. Dalam setiap peringkat pembangunan Islam Politikal, akan ada tindak balas dan suara-suara penentangan. Jalan ke arah evolusi pemikiran bukanlah jalan yang lurus tapi penuh liku.

Di barisan depan antarabangsa, wadah utama perjuangan politik dalam masyarakat Muslim dari awal abad ke-20 hingga ke sekitar 1960-an ialah sentimen anti-kolonialisme dan anti-Barat. Medan politik mereka ketika itu banyak berkisar mengenai isu itu.

Di banyak negara, gerakan Islamis pada tempoh itu sering bergabung dengan gerakan anti-kolonialis dan gerakan kiri. Hanya sedikit sahaja organisasi yang benar-benar menjadikan Islam sebagai dasar tindakan politikal mereka, dan biasanya mereka organisasi yang kurang kuat.

Di Malaysia, parti politik Islam yang pertama, Hizbul Muslimin ditubuh pada 1948 dan kemudian diharamkan oleh kerajaan kolonial pada tahun sama. Ia adalah akar kepada penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya/Parti Nasionalis Melayu (PKMM/MNP).

PAS pula ditubuh oleh bekas agamawan UMNO pada November 1951 di Butterworth. Dua daripada mereka adalah ayah dan datuk kepada bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam kompas politik, Hizbul Muslimin dilihat sebagai gerakan kanan manakala PAS pula gerakan kiri. Pada 1954, setelah UMNO menghalang ahli-ahlinya memegang dua keahlian parti, mendorong majoriti agamawan UMNO yang menyertai PAS memilih kekal dalam UMNO.

Pada 1956, bekas Presiden PKMM/MNP, Dr Burhanuddin al-Helmy dipilih menjadi Presiden PAS.

Pada Pilihan Raya Umum 1959, PAS menang di Kelantan dan Terengganu. Ketika itu, boleh dikatakan tidak ada parti politik yang memerintah menggunakan panji Islam di mana-mana negara kecuali di Pakistan dan Indonesia.

Dalam kalangan PAS, ramai yang melihatnya seperti Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi yang kerap kali menghadapi hukuman kerajaan dalam tempoh 60 tahun kebelakangan ini.

Salah seorang pemimpin besar Ikhwan, Sayyid Qutb, didakwa menjadi dalang pembunuhan Gamal Abdel Nasser dan dijatuhi hukum gantung sampai mati.

Walaupun PAS banyak dipengaruhi kepimpinan Ikhwan dalam urusan hal-ehwalnya, Ikhwan contoh yang salah kerana, sebagai sebuah gerakan tertindas, matlamatnya cuma untuk terus wujud. Sedangkan, matlamat PAS untuk menang pilihan raya.

 

Kebangkitan Islam

anwar doluBerslogan “Islam adalah penyelesaian”, kebangkitan gerakan Islamik hadir sebagai gelombang politik global pada 1970-an. Revolusi Iran 1979 mempengaruhi orang Islam di seluruh dunia untuk menggunakan agama sebagai cara radikal mencapai kemenangan.

Politik Islam di Malaysia bukannya tumbuh tak berakar; ia tak boleh lari dari pengaruh pergerakan antarabangsa. Kebangkitan Islam di Malaysia datang dalam bentuk sebuah gerakan anti-establishment yang timbul pada sekitar 1970-an (dengan peranan besar ABIM yang diterajui oleh Anwar).

Sekitar tahun 1980-an kemudiannya menyusul dengan PAS dan UMNO saling bersaing untuk menjuarai seputar isu Islam.

Walaupun ada segelintir rakyat menerima latihan akademik Islam sebelum 1980-an lagi, ABIM yang digerakkan Anwar dilihat sebagai pendukung kepimpinan era itu.

Setelah Tragedi 13 Mei, PAS dan UMNO bekerjasama secara rasmi pada 1973 dan PAS kemudian bersatu dengan Barisan Nasional (BN) pada 1974. Penyatuan itu meninggalkan ruang untuk ABIM muncul sebagai sebuah kepimpinan gerakan anti-establishment dasar-Islam.

Ketika pilihan raya 1978, Anwar berkempen untuk PAS tapi kemudian menyertai UMNO seminggu sebelum piliharan raya 1982. Dalam Muktamar PAS pada Oktober tahun sama, berlaku perubahan dalaman PAS yang menyaksikan penyingkiran presidennya, Asri Muda.

Selepas menyertai UMNO, Anwar lantang menyuarakan isu ‘penjenamaan Islam’ seperti universiti Islam, sistem kewangan Islam, sistem perbankan Islam dan lain-lain. Anwar
menggunakan strategi:

(a) mempromosi label Islam dengan rangka kerja sistem kapitalis;

(b) mewujudkan jenama Islam melalui rangka kerja BN yang berbilang kaum.

Di pihak yang lagi satu pula, Naib Presiden PAS yang baru dilantik, Hadi Awang membawa Islam yang lebih ‘tulen’ dan ‘suci’ sebagai tindak balas kepada gagasan Anwar.

Amanat Hadi – yang pertama kali disampaikan pada 1981 – secara kontroversi menggelar pemimpin UMNO dan ahli-ahlinya sebagai orang Islam yang tidak jujur dalam perjuangan Islam, dan termasuk dalam golongan kafir.

Ucapan Hadi mendorong rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat terutama di negeri kelahirannya, Terengganu. Ramai ahli PAS memutuskan hubungan dengan teman-teman dari UMNO sehinggakan di majlis kahwin atau kenduri arwah, ibadah solat terpaksa dibuat
dua kali – satu diimam orang PAS dan satu oleh orang UMNO).

Krisis paling teruk berlaku antara PAS dan pihak yang dipimpin UMNO ialah Peristiwa Memali pada 1985 yang menyaksikan polis mengepung sebuah kumpulan agama kecil di
Kedah dan membawa kepada kematian ahli-ahli PAS.

Pada pilihan raya 1986, PAS bertanding 90 daripada 154 kerusi parlimen dengan anggapan betapa sentimen ikatan Islamik yang kuat akan membantu mereka untuk menang.

Sebaliknya, PAS hanya mampu menang satu kerusi saja dan pengaruh kelompok konservatif semakin berkurangan dalam parti sedangkan kelompok moderat kian dominan.

Berikutan kekalahan itu, kelompok moderat mula menguasai PAS melalui kepimpinan presiden baru, Fadzil Noor yang dilantik pada 1989. Setelah berpecah dengan UMNO pada 1987, PAS kemudian bekerjasama dengan Semangat 46 dan memenangi semula Kelantan pada 1990.

 

Kelompok Progresif 

Kebangkitan Islam global yang diilhamkan oleh Revolusi Iran tidak bertahan lama. Sehingga 1990-an, gerakan Islamik di banyak negara menemui kegagalan dalam eksperimen demokrasi (Algeria, Tunisia). Tempoh itu merupakan tempoh sukar tapi dalam tempoh tersebut jugalah Islam politikal mengalami percambahan beragam.

Selepas kejatuhan Soviet Union dan blok Komunis Eropah Timur pada 1989, pakar teori Barat (khususnya saintis politikal Amerika seperti Samuel P. Huntington) tercari-cari idealogi politikal untuk dijadikan ‘musuh’ baru.

Tesis beliau, “The Clash of Civilisations” menjadi kanun aliran pemikiran dengan meletakkan Islam sebagai musuh politikal baru.

Serangan Al-Qaeda (Osama bin Laden) terhadap World Trade Center pada 2001 merupakan produk daripada radikalisasi Islam yang dikepung. Trend melawan itu menjadi alasan parti Islamik – seperti di Indonesia dan Turki yang berkuasa – untuk cenderung bergerak ke tengah bagi meraih undi kelompok moderat.

Banyak usaha dilakukan dengan serius untuk menunjukkan dan membuktikan Islam berkesesuaian dengan demokrasi.

Tempoh radikal dalam Islam politikal di Malaysia tamat setelah 1980-an dan kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 menarik beberapa golongan hebat menyertai PAS yang kemudian membawa parti itu ke jalan tengah.

hadiWalaupun begitu, kejayaan PAS pada 1990 itu juga secara tidak langsung menyumbang kepada prestasi buruk mereka pada 1995.

Kes Anwar pada 1998 membolehkan PAS meraih lebih banyak sokongan masyarakat, ahli dan pemimpin. Ramai teknokrat bukan agamawan dan golongan profesional menyertai PAS semasa Reformasi, malah ada menjadi pekerja dan pemimpin politikal sepenuh masa.

Setelah pemergian Fadzil Noor pada 2002, presiden baru PAS, Hadi Awang mengabai kempen Islamik demokratik dan menghidupkan semula idealogi radikalisme berdasarkan Dokumen Negara Islam yang diusul oleh Haron Din pada November 2003.

Tindakan itu menyebabkan PAS mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya 2004.

Berikutan itu – untuk membaiki imej PAS, Hadi membenarkan kelompok progresif dalam parti mempromosi agenda politik mereka. Kerjasama politik dengan PKR dan DAP kemudian membolehkan PAS meraih undi terbesar dalam sejarah parti pada pilihan raya 2008.

 

Pasca-Islamis

Gerakan politik Islam global masuk ke era introspeksi apabila dikejutkan oleh Kebangkitan Arab pada 2011. Parti dan gerakan politikal Islamik tidak menjangka kejutan itu dan memberi respon yang agak tidak selesa.

Dalam proses pendemokrasian pasca-Kebangkitan Arab, parti politikal Islamik menjadi kuasa masyarakat yang paling tersusun selain tentera – itu membolehkan mereka menang besar dalam pilihan raya di Mesir dan Tunisia.

Bagaimanapun, pemerintahan Presiden Morsi tumbang dalam masa setahun saja. Ini kerana kurangnya pemimpin yang mampu menghadapi peralihan dari sistem autoritarian. Penindasan berdekad-dekad banyak melenyapkan kepimpinan mereka dari latar belakang teknokrat.

Setelah diberi peluang untuk memerintah, mereka tidak berdaya menentang tindakan balas dari Negara Dalam (Deep State) dan gagal menyelesaikan masalah ekonomi Mesir.

Ehnada, parti politikal Islamik Tunisia, mungkin parti yang paling bersedia dari segi semangat demokrasi kerana sanggup menyerahkan kuasa dan membenarkan kerajaan teknokratik untuk memerintah.

Erdogan yang menerajui tampuk pemerintahan Turki pada 2003 adalah simbol asal pendemokrasian Islam, tetapi setelah berkuasa sekian lama, beliau mula menunjukkan sisi-sisi kedikdatoran.

Cabaran yang dihadapi oleh Islam politikal adalah ketidakjelasan slogan ‘Islam adalah penyelesaian’ dalam menguruskan masalah ekonomi, pengurusan dan pentadbiran.

Adakah Islam sebiji ‘pil ajaib’ untuk segala masalah?

Atau, adakah sudah tiba masanya untuk prinsip Islam yang lebih luas – Maqasyid Syariah, diangkat untuk menggantikan label Islamik yang superfisial?

Perpecahan dramatik dalam PAS pada 2015 adalah produk akibat pertembungan antara kelompok kebangkitan Islamik 1982 dan kelompok progresif/moderat. Malah, muncul satu lagi peringkat dalam konflik ini: Bagaimana caranya untuk mempromosi Islam dalam senario pasca-Islamisme.

Ambil hudud sebagai contoh. Dalam dialog dengan pelajar jurusan pengajian Islamik, saya seringkali ditanyakan pendapat mengenai hudud.

egyptcrowdrejoicesJawapan saya: Mekanisme dalam mengukuh kewangan Islamik adalah satu ‘produk’ penting dalam perjuangan Islam UMNO pada 1982. Semasa tempoh kebangkitan Islamik pada 1980-an, hanya sedikit kajian yang dibuat berkenaan Islam dan tidak ramai rakyat Malaysia yang mengkaji Islam secara serius. Masyarakat berpuas hati dengan apa saja ‘produk’ dengan ‘jenama Islamik’. Tanda aras amat rendah.

Pada 2015, sekurang-kurangnya ada puluhan ribu – jika bukan ratusan ribu – rakyat Malaysia yang mengkaji Islam secara serius. Sebagai sebuah masyarakat, kita memiliki pemahaman lebih baik berbanding pada 1982.

Kewangan Islam dan bon Islam, sukuk adalah instrumen kewangan dengan nilai baik yang dipakej sebagai ‘Islamik’. Jika kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk mengusul sukuk untuk membayar hutang 1MDB, adakah ia halal ataupun haram?

Biasanya, lebih separuh khalayak Muslim akan berkata ia haram. Begitu juga perbincangan tentang hudud. Pada 1980-an, tidak ramai yang menyentuh secara terperinci kandungan undang-undangnya, dan tiada ruang untuk berdebat.

Pada 2015, dengan ramainya rakyat yang mengkaji Islam bertahun-tahun, lebih ramai sedar jika tidak melaksanakan ijtihad, berkemungkinan besar kita menjatuhi hukuman potong tangan ke atas seseorang yang mencuri RM42 manakala pesalah yang mencuri RM42 bilion pula terlepas bebas.

Kemungkinan seperti itu tidak menepati konsep keadilan Islam yang luas.

Kelompok progresif cuba menghadapi masyarakat pluralistik berdasarkan rangka kerja kebangkitan Islamik. Cabaran pada 1980-an ialah untuk mempromosi cara pemikiran melalui label Islamik kepada masyarakat yang ketika itu kurang ‘Islamisasi’-nya.

Malah, gaya hidup Islam (tudung dsb), politik Islam, ekonomi (kewangan Islam) dan undang-undang (hudud) adalah hal-hal baru ketika itu.

Kelompok 1998 cuba memecahkan acuan yang dibentuk Kelompok 1982. Cabaran pada 2015 ialah bagaimana untuk bergerak ke depan dalam masyarakat yang sudah menerima lebih daripada label ‘Islamisasi’ yang superfisial dan mendepani isu penting.

Selepas perpecahan pada 2015, PAS yang diteraju Hadi tinggal hanya pemikiran dari kebangkitan Islam 1982.

Parti Amanah Negara (Amanah) bukan hanya harus memenuhi mandat kelompok progresif, malah mesti membawa pemikiran pasca-Islamis yang komprensif berkaitan Maqasyid Syariah bagi meraih sokongan lebih ramai rakyat yang mahukan sebuah masyarakat yang adil.

Betapa evolusi pemikiran dalam Islam politikal memainkan peranan besar dalam membentuk spektrum baru politik Malaysia.

 

*Diterjemah dan disunting dari tulisan Liew Chin Tong. Beliau ialah Ahli Parlimen Kluang.