Rencana

Melangkaui tembok parti, tempurung kaum demi bangsa Malaysia

ORANG Melayu diseru mencontohi rakan seperjuangan Cina – berani melangkaui semangat kepartian dalam menyuarakan penolakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila kepentingan mereka tergugat.

Itu pesanan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu program anjuran UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, baru-baru ini.

Namun, Dr Mahathir ketika menyampaikan mesej itu, sebenarnya tersilap menterjemah keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013 lalu apabila beranggapan, pengundi Cina ‘lupa kepentingan parti’ jika kepentingan kaum mereka tergugat.

Sedangkan – sesuatu yang Dr Mahathir lupa, kepentingan negara yang melangkaui kepentingan puak tertentu, itulah sebab utama mengapa pengundi Cina memilih, bukan saja calon dari DAP tetapi calon Pakatan Rakyat termasuk dari PKR dan PAS pada PRU 13.

Itulah sebab pengundi Cina memilih wakil rakyat Melayu dari Pakatan Rakyat dan menolak calon Cina dari MCA. Itulah demokrasi matang dan cara pengundian yang betul – dengan meletakkan kepentingan negera melebihi kepentingan peribadi, parti, juga puak.

Dan, kita baru saja menyambung ulang tahun kemerdekaan ke-58 dan ulang tahun penubuhan Malaysia ke-52.

Adakah kita terlalu awal untuk mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia yang mampu melangkaui tembok kepentingan peribadi, parti dan puak, kemudian bertindak berdasarkan kepentingan negara?

Sedangkan, pada dekad awal kelahiran negara, kita ada ramai tokoh negara yang berjuang untuk negara tanpa mempersoal kepentingan peribadi dan etnik.

Malah, kita baru saja kehilangan Yuen Yuet Leng. Sebutir peluru berdekatan jantungnya terus tertanam dalam tubuh sehingga akhir hayatnya adalah bukti profesionalisme dan patriotisme tokoh polis negara itu.

Mengapa kita semakin kekurangan tokoh seolah-olah dilanda kepupusan? Mengapa semakin ramai pemimpin Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dayak hanya gigih memperjuang etnik masing masing, bukannya menjadi tokoh negara?

Perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung 34 jam sehingga ke detik perayaan ulang tahun Merdeka ke-58 tempoh hari adalah titik bersejarah dalam pembentukan negara bangsa Malaysia.

Ratusan ribu rakyat Malaysia – tanpa mengira kaum, agama, tempat, umur, jantina atau malah parti politik – berhimpun di Kuala Lumpur demi sebuah kepentingan yang melangkaui kaum – menuntut kerajaan yang telus dan pilihan raya yang bersih dan adil.

Bersih 4 berbeza dari perhimpunan Bersih 1, 2 dan 3 kerana orang Melayu tidak datang sebagai majoriti. Sebaliknya, yang menarik ialah peningkatan penyertaan mereka secara mendadak dari 20 peratus pada hari pertama kepada 40 peratus pada hari kedua.

Malah, perhimpunan Bersih 4 juga berbeza dengan Himpunan Baju Merah pada 16 September dari segi kepentingan etnik dan negara. Selama 34 jam Himpunan Bersih 3, langsung tidak ada sedikit pun isu perkauman diungkit. Tiada sesiapa pun, baik Cina, Melayu, India, Kadazan atau Iban, berasa berancam kerana identiti kaumnya.

Tindakan ratusan ribu rakyat pelbagai kaum dan agama yang berhimpun secara aman dan bersama-sama meraikan proses demokrasi itu, bagaimanapun, bukan saja tidak dipuji oleh kerajaan UMNO BN. Malah, kempen dilancarkan untuk membalas, mengutuk dan memburuk-burukkan Bersih 4.

Pemimpin MCA dan Gerakan juga mencucuk-cucuk sebahagian kelompok ekstrimis UMNO untuk bertindak balas secara provokatif dan perkauman dengan mengadakan Himpunan Baju Merah.

Himpunan empat jam itu jelas terbalik kalang dari Bersih 4. Sejak dari saat ia diumumkan sejurus perhimpunan Bersih 4, ia penuh nada ancaman – betapa akan berlaku konflik perkauman.

Risalah dengan grafik yang menggambarkan ‘pertumpahan darah’ antara kaum disebar. Sepanjang dua minggu berikutnya, seluruh rakyat di serata negara dicucuk rasa takut-takut berulang lagi kejadian rusuhan kaum.

Jikalau ada tokoh negara dalam Kabinet, pasti menteri UMNO atau BN akan turun ke Jalan Petaling dan mententeramkan peniaga yang gusar dan menyakinkan mereka keadaan akan kekal aman.

Sebaliknya, ketakutan dan rasa tidak selamat mengakibatkan sekitar 500 kedai dan lebih 700 perniagaan di Jalan Petaling ditutup pada hari berkenaan.

Tiada menteri dari UMNO atau MCA ataupun Gerakan yang turun ke Jalan Petaling sebelum berlangsungnya Himpunan Baju Merah. Lebih teruk, ada menteri dan timbalan menteri UMNO yang mengesahkan kehadiran sebagai tanda sokongan!

Menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-60, sudah tiba masanya untuk kemunculan tokoh seperti Yuen Yuet Leng yang sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, sempat mengeluh kecewa kepada teman-teman tentang hubungan kaum yang kian retak.

Betapa tidak, rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi pemimpin dalam semua aspek di negara ini, perlu berhenti daripada memperkaum isu dan hal ehwal dalam negara.

Contoh, topik yang hangat kini, sama ada perlunya ‘usul undi tidak percaya’ terhadap Perdana Menteri dan sama ada Najib boleh selamat dari usul itu. Ia semakin menarik perhatian ramai apabila bekas Presiden MCA paling lama, Tun Dr Ling Liong Sik terang-terang menunjukkan sokongannya kepada usul untuk menyingkirkan Najib.

Najib mungkin tersilap apabila yakin beliau tidak perlu berdepan usul undi tidak percaya di Parlimen. Najib beranggapan sudah membuat persedian cukup dengan memastikan Speaker Dewan Parlimen tidak akan mengizinkan usul itu dibincang.

Beliau yakin mendapat sokongan ahli Parlimen UMNO BN yang dijanjikan lebih banyak peruntukan pada masa depan. Tapi mungkin Najib seperti batang mengkudu, dulu buah daripada bunga.

Biarpun begitu, tidak perlu ada usaha untuk memperkaumkan isu usul undi tidak percaya terhadap Najib. Sama ada jika Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri atau jika UMNO digantikan, kuasa politik Melayu tetap takkan terancam.

Perdana Menteri baru akan kekal seorang Melayu dan pakatan pemerintah yang menggantikan UMNO akan kekal didominasi oleh Melayu berdasarkan demografi Malaysia.

Seperti yang disebut pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum Himpunan Baju Merah, beliau tidak tahu dari mana datangnya ancaman terhadap Melayu, sedangkan Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh orang Melayu, kerajaan negeri – kecuali Pulau Pinang, dipimpin orang Melayu, perkhidmatan awam hampir keseluruhannya diduduki orang Melayu, tentera kebanyakannya orang Melayu dan ada pula Raja-raja Melayu.

Malah baru-baru ini, Zainah Anwar, seorang aktivis hak asasi Malaysia, juga mempersoal dari mana datangnya ancaman terhadap Melayu selepas 58 tahun pemerintahan UMNO.

Beliau juga mengaju suatu persoalan menarik, setelah empat dekad sejak Dasar Ekonomi Baru ditubuh, mengapa situasi di bawah terus berlaku:

1. 75.5 peratus rakyat termiskin ialah Melayu;
2. Hampir 90 peratus graduan tidak bekerja ialah Melayu dan;
3. Daripada RM54 bilion yang diperuntuk kepada individu dan institusi Melayu dari 1984 hingga 2005, hanya RM2 bilion saja kekal di tangan orang Melayu.

Persoalan paling penting, bolehkah rakyat Malaysia meninggalkan tempurung kaum dan bersama-sama bergerak ke depan dalam membina negara sebagai bangsa Malaysia?. -Roketkini.com