Berita

DAP kemuka formula agih kerusi elak pertandingan tiga penjuru

KUALA LUMPUR 16 OKT: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengemukakan formula pengagihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN).

Katanya, satu-satunya cara ialah PAS bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala Parti Amanah Negara (Amanah) di negeri lain yang tertakluk atas persetujuan parti pembangkang lain.

Bagaimanapun, beliau mengakui formula itu belum tentu dapat dilaksanakan berikutan cadangan berkenaan belum dibincang dengan mana-mana pemimpin mahupun parti politik berkaitan.

“Kepelbagaian kombinasi dalam dunia politik Malaysia berlangsung bukan sahaja dalam kalangan BN tetapi juga parti pembangkang. Ia hangat diperkata sekarang,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman PAS dan Perkasa sebagai suatu bentuk kerjasama semalam juga tidak mencegah kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka pada 2018.

Katanya, ia menunjukkan sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik tanah air apatah lagi dua pemimpin terkenal Malaysia, Tun Dr Mahathor Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan pertemuan secara umum.

“Bukan mustahil ada perkembangan baru berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO BN dengan mempertimbang untuk mengambil pendirian sama dengan Pakatan Harapan demi menyelamatkan Malaysia? Apakah pendirian Ahli Parlimen PAS dalam situasi itu?

“Pendekatan politik baru perlu jika kita mahu mengelak Malaysia menjadi kacau bilau akibat pelbagai krisis politik, ekonomi, urus tadbir dan pembangunan negara,” katanya.

Sama ada Malaysia dapat mengelak dari kacau bilau, Kit Siang berkata, ia bergantung kepada kebijaksanaan dan kematangan Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, kaum, agama atau wilayah.