Berita

Adun DAP ulangi saranan Selangor adakan Hari Tol Percuma

KUALA LUMPUR 15 OKT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Ng Sze Han menyaran Kerajaan Selangor mengadakan Hari Tol Percuma Selangor untuk melawan dasar kenaikan kadar tol yang dilakukan Kerajaan Persekutuan pimpinan UMNO BN.

Katanya, langkah proaktif itu demi meringankan beban rakyat dengan memperluas skop program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan memanfaat keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu.

Beliau berkata, ia berikutan GLC Selangor antara pemegang saham dalam syarikat konsensi Lebuhraya Damansara-Puchong (Litrak) dan Lebuh raya Shah Alam (Kesas) dengan memberi tol percuma minimal sehari dalam seminggu.

“Pemberian tol percuma bukan perkara baru kerana pemberian air percuma 20 meter padu pertama kepada pengguna air domestik adalah contoh kerajaan negeri berkongsi keuntungan GLC selaku pemegang saham,” katanya.

yb ng sze hanPada 2013, beliau membawa cadangan sama supaya kerajaan negeri tidak menjual pegangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam Kesas Holdings Bhd bagi membolehkan rakyat menikmati bayaran tol percuma di lebuh raya Kesas.

Bagaimanapun, cadangan yang dibawakannya pada Belanjawan Selangor 2014 ketika pentadbiran negeri diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim, tidak diterima pakai.

Dalam perkembangan berkaitan, Sze Han berkata, tindakan Kerajaan Selangor mengarahkan dua syarikat milikan negeri untuk memberi penjelasan mengenai kenaikan kadar tol di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) sebagai tindakan tepat.

“Tindakan mengarahkan PKNS dan Kumpulan Perangsang untuk hadir mesyuarat MTES sebaik sahaja kenaikan tol menunjukkan kepekaan terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Katanya, PKNS dan KPS yang masing-masing memiliki kepentingan minoriti harus bertindak selaras dengan dasar negeri yang membantah kenaikan kadar yang membebankan rakyat.

“Berdasarkan laporan Litrak 2015, LDP dan Sprint masing-masing menjana keuntungan RM138juta dan jumlah kenderaan meningkat dua oeratus berbanding 2014. Kadar kenderaan yang melalui tol melebihi 500,000 sehari.

“Jika Kerajaan Selangor ambil dividen selaku pemegang saham dari keuntungan Litrak iaitu RM27.6 juta dan jika kita hitung, kadar pemakaian lebuh raya pada Ahad ialah setengah dari hari bekerja.

Berdasar perkiraan keuntungan, beliau percaya program Hari Tol Percuma Selangor adalah langkah yang boleh dilakukan setiap tahun dan sejumlah 13 juta pengguna menikmati manfaat itu.