Berita

Peruntukan HSR RM40 bilion patut disalur ke Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR 22 OKT: Kerajaan Persekutuan sepatutnya menggunakan peruntukan pembinaan Projek Hi Speed Rail (HSR) bernilai lebih RM40 bilion untuk membangunkan dan menambah baik jaringan keretapi di Sabah dan Sarawak.

“Hingga sekarang, Sarawak tidak ada keretapi. Di Sabah hanya ada landasan keretapi tak sampai 200 kilometer pun. Apa salahnya bangunkan sistem keretapi di Sabah dan Sarawak untuk hubungkan bandar ke bandar,” kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu,  Jimmy Wong Sze Phin.

Pada kenyataan media, hari ini, beliau percaya jaringan keretapi dari Sarawak ke Sabah dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri dan penduduk sekaligus mengecilkan jurang pendapatan rakyat.

Jimmy WongSebaliknya, Jimmy berkata, projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura itu jika projek ini diteruskan, wilayah Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak akan ketinggalan 20 tahun ke belakang.

“Ia akan mewujudkan ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi antara Semenanjung dan Malaysia Timur. Adakah kerajaan ada agenda tersembunyi apabila hanya tumpukan projek di Semenanjung?” katanya.

Cadangan projek cadangan yang dipersetujui dengan kerajaan Singapura itu mencerminkan BN tidak mementingkan Sabah dan Sarawak, apatah lagi tambang kereta api tidak mesra pengguna.

“Hanya yang kaya sahaja mampu gunakan perkhidmatan berkenaan,” katanya sambil menambah, projek itu cadangan YTL Corporation Berhad pada 2006 yang juga pengendali KLIA Ekspres.

Projek itu secara rasmi dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 19 Februari 2013.