Berita

Wan Azizah: 1MDB tak boleh disentuh, Kit Siang mangsa terbaru

KUALA LUMPUR 22 OKT: Penggantungan Ahli Parlimen paling lama dalam sejarah tanah air dari menghadiri sidang Parlimen disifatkan tidak wajar, bahkan menjadi mangsa terbaru skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail kesal kerana Ahli Parlimen Gelang Patah itu hanya membawa suara rakyat berkaitan skandal 1MDB yang hangat diperkata dalam dan luar negara.

“Adakah 1MDB langsung tidak boleh disentuh, tidak sesiapa pun boleh soal?

“Kit Siang hanya bawa surat speaker yang memungkinkan 1MDB tidak boleh berfungsi. Apakah itu satu kesalahan?” katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas penggantungan itu, hari ini.

Beliau juga menyifatkan penggantungan itu tidak wajar kerana pelbagai tafsiran lain terhadap isu penggantungan boleh dibuat terhadap Kit Siang sekaligus membuktikan Parlimen bukan lagi medan bersuara.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pula menyifatkan penggantungan itu sebagai babak hitam dalam sejarah Parlimen di Malaysia apabila Kit Siang langsung tidak diberi peluang membela diri seperti amalan lazim.

“Penggantungan itu juga jelas menepati usaha menutup skandal 1MDB. Namun, ia tidak akan mematikan usaha membongkar skandal itu, sebaliknya menghidupkan usaha hingga memaksa jawapan Perdana Menteri.

“Rakyat mahu tahu kebenaran dan ini bukan caranya. Cubaan tutup mulut Kit Siang hanya menyedarkan rakyat mengenai skandal itu,” katanya.