Berita

Kit Siang: Penggantungan saya jadi ‘lesen’ bangkit kesedaran rakyat

KUALA LUMPUR 22 OKT: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang digantung enam bulan dari menghadiri sidang Parlimen selepas mengkritik Speaker Dewan Rakyat ketika membangkitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan masalah jerebu.

Menyifatkan dirinya sebagai mangsa terbaru 1MDB, beliau tidak kesal dikenakan tindakan itu kerana ia bakal menjadi lesen kesedaran dan kebangkitan rakyat untuk menumbangkan kerajaan zalim.

“Jika saya digantung dari (sidang) Parlimen enam bulan tapi ia menjadi lesen kesedaran rakyat dan rakyat bangkit melawan kezaliman, saya terima, saya rela,” katanya.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana isu penggantungannya menguasai sidang Dewan Rakyat seolah-olah pihak tertentu cuba mengalih tumpuan daripada skandal 1MDB dan masalah jerebu yang jauh lebih serius.

“Kalau tanya orang, apa isu paling besar? 1MDB. Lagi besar dari 1MDB tapi dalam dewan ini, isu paling besar  gantung Gelang Patah enam bulan. Dalam isntitusi parlimen pun, isu sudah bertukar wajah,” katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu digantung enam bulan selepas pengundian 107 menyokong dan 77 membantah sekalipun prosedur penggantungannya mencurigakan, malah beliau dinafi hak pembelaan.

Ia berikutan Kit Siang tidak menarik balik perkataan yang digunakannya terhadap Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, pada perbahasan Isnin lalu dalam isu berkaitan 1MDB dan jerebu kerana tidak menyebutnya secara tepat.

Usul penggantungan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said jam 11.40 pagi ini selepas usul sama ditolak semalam.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen dari DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR membantah usul itu berikutan ia tidak menepati prosedur, malah tidak memberi ruang pembelaan.

Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), berkata Kit Siang sepatutnya dibawa ke pendengaran Jawatankuasa Hak Keistimewaan untuk diberi peluang membela diri dengan membawa bukti dan saksi.

Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) mempertikai usul penggantungan itu berikutan ia tidak menepati tiga syarat untuk berbuat demikian termasuk elemen kepentingan umum.

“Usul itu pula diluluskan speaker yang namanya ada disebut dalam isu itu. Ini ada unsur konflik kepentingan,” katanya.

N Surendran (PKR-Padang Serai) berkata usul penggantungan tidak mematuhi prosedur berikutan speaker kerap menggunakan budi bicara yang berat sebelah.