Berita

Selangor disaran salur dividen untung tol kepada rakyat

KUALA LUMPUR 22 OKT: Kerajaan Selangor perlu menggunakan kedudukannya sebagai pemegang saham minoriti untuk menyuarakan pandangan bagi memastikan kenaikan tol pada masa depan terkawal dan tidak membebankan rakyat.

Walaupun kenaikan tol ini tidak semestinya dibawa untuk kelulusan lembaga pengarah syarikat konsesi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata ia tidak bermakna kerajaan negeri tiada hak untuk melakukan sesuatu.

Contoh, katanya, Kumpulan Perangsang Selangor (Perangsang) sebagai pemegang saham minoriti boleh membawa resolusi dalam Mesyuarat Agung Tahunan supaya semua kenaikan tol mesti dirujuk kepada Lembaga Pengarah sebelum dikuat kuasa.

“Perkara itu diperuntuk dalam Seksyen 145 Akta Syarikat,” katanya pada kenyataan media, hari ini sambil menyatakan Perangsang ialah anak syarikat Kerajaan Selangor.

Sebenarnya, beliau berkata, Kerajaan Selangor boleh menerap sebarang dasar kerajaan negeri ke dalam pengurusan syarikat pegangannya tetapi rundingan dengan pemegang saham lain perlu supaya ia boleh diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

Malah, katanya Seksyen 181 Akta Syarikat juga memperuntuk hak dan kuasa pada pemegang saham minoriti jika berlaku penindasan atau diskriminasi terhadap mereka.

“Ini bukan kali pertama Kerajaan Selangor menggunakan pegangan ekuitinya untuk mengurangkan beban rakyat akibat kutipan tol lebuh raya,” katanya.

Lau-Weng-San-01Beliau merujuk tindakan pemegang konsesi, Cerah Sama Sdn Bhd bagi pembukaan jalan keluar masuk untuk menyambung Bandar Mahkota Cheras ke Lebuhraya Cheras-Kajang pada 2008 yang menggunakan tanah kerajaan.

Ia berikutan Perangsang memiliki pegangan saham 20 peratus dalam Taliswork Corporation Berhad (TCB) yang memegang 55 peratus saham dalam Cerah Sama Sdn Bhd, pemegang konsesi lebuh raya itu.

Weng San turut menggesa Kerajaan Selangor memaklumkan hasil keputusan perjumpaan dengan kedua-dua Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Perangsang berkaitan isu kenaikan tol.

Katanya, ia berikutan Perangsang memegang 20 peratus saham dalam syarikat konsesi Lebuh raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), apatah lagi Ahli Parlimen Subang dari PKR, Sivarasa Rasiah seorang daripada tiga pengarahnya.

“Tol SPRINT naik daripada RM1.50 ke RM2.50. Sebab itu, hasil perjumpaan antara Kerajaan Selangor dengan Perangsang dalam mesyuarat MTES pada 15 Oktober penting,” katanya.

Kata Weng San, pelantikan wakil Kerajaan Selangor sebagai Pengarah dalam Lembaga Pengarah syarikat konsesi lebuh raya juga perlu dibuat dengan telus supaya individu lantikan itu berkebolehan melindungi kepentingan syarikat dan rakyat sekaligus.

Selain itu, katanya, Kerajaan Selangor juga harus memaklumkan jumlah dividen yang diterima daripada syarikat konsesi lebuh raya itu, malah Sivarasa juga harus berbuat demikian bagi menunjukkan contoh pentadbiran baik.

“Bagaimana dividen itu akan digunakan untuk mempertingkat kualiti jalan negeri dan alternatif? Ini penting kerana rakyat Selangor berharap dividen yang dijana daripada keuntungan syarikat pemegang konsesi boleh disalurkan balik kepada rakyat dalam pelbagai cara bermanfaat,” katanya.