Rencana

Agenda Melayu dan penyelesaiannya

MUTAKHIR ini, kemarahan dan nasib orang Melayu menjadi topik popular. Bukannya semua yang marah, tetapi ada sekelompok dalam masyarakat Melayu, barangkali tercetus oleh rasa tidak selamat, telah mencipta bayangan yang mereka kini dalam ancaman.

Mereka rasa berpecah, terancam, serta tercalar maruah mereka. Walhal hampir semua kedudukan dan jawatan rasmi negara dipegang oleh orang Melayu, dan bilangan mereka melebihi 60 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Banyak pihak yang mengatakan sentimen ini adalah tidak munasabah, dan ia adalah satu rekaan mental dan dipropagandakan untuk tujuan yang tidak baik – untuk mewujudkan sokongan di kalangan orang Melayu berdasarkan kebimbangan dan mungkin juga prasangka mereka.

Tindakan mengapi-apikan sentimen perkauman ini akan membawa kesan yang amat buruk. Kita perlu melakukan segala yang terdaya untuk mengelakkannya. Setakat ini, saya kecewa dengan kepimpinan yang ditunjukkan dalam soal ini.

Kita perlu menyedarkan rakyat Malaysia tentang apa yang terjadi di Syria – sebuah negara yang indah dan kaya sejarah yang kini musnah ekoran persengketaan dalaman yang disebabkan perbezaan sektarian. Mereka yang dahulunya hidup bersama kini saling berbunuhan, meninggalkan kampung halaman dan menjadi pelarian.

Kita sudah lupa dengan apa yang terjadi kepada Yugoslavia – barbarisme, pembunuhan dan pertumpahan darah yang memecah-belahkan negara itu. Ia sudah wujud sebagai sebuah negara selama 60 tahun sebelum itu. Apa yang terjadi seolah-olah membayangkan yang mereka hidup dalam penipuan selama tempoh itu. Adakah kita juga hidup dalam satu penipuan?

Masyarakat Melayu memang mempunyai masalah tersendiri dan isu sebenarnya adalah mereka ketinggalan dalam aspek pembangunan (under-development). Ini bukanlah satu masalah yang luar biasa – sudah ada pelbagai kajian tentang aspek sosiologi dan ekonomi dalam pembangunan sesebuah masyarakat, dan ada penemuannya yang relevan di sini.

Namun perbincangan mengenainya haruslah bermula dengan menggariskan pentafsiran masalah yang betul sebenar -– bahawa ini adalah masalah pembangunan yang juga memerlukan penyelesaian bersifat pembangunan.

beltwintowers-ringgitMasyarakat Melayu berhadapan dengan masalah pembangunan dalam pelbagai segi. Masih ramai orang Melayu yang berpendapatan rendah. Jumlah ini cukup ramai sehinggakan purata pendapatan masyarakat Melayu adalah lebih rendah daripada purata negara. Ia juga menunjukkan bahawa tahap modal insan mereka adalah juga rendah pada puratanya.

Selain itu, pembahagian pendapatan di kalangan orang Melayu juga menunjukkan jurang yang amat besar. Ia lebih besar daripada jurang pembahagian pendapatan antara kaum. Diperhatikan bahawa semakin lama, jurang pendapatan intra-kaum menjadi lebih besar berbanding jurang pendapatan antara kaum.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan, mengapakah orang Melayu secara puratanya masih ketinggalan dalam soal pembangunan? Orang Melayu mana yang mendapat manfaat, dan apa yang terjadi dengan selainnya?

Jelas, model pembangunan yang semata-mata mewujudkan akses kepada kesihatan dan pendidikan asas sudah tidak berkesan lagi. Ia telah dijalankan dengan jayanya pada dekad-dekad awal selepas Merdeka. Akses meluas – hampir bersifat universal – kepada peluang pendidikan telah memperdayakan orang Melayu, sekaligus meningkatkan status sosial (upward mobility) mereka apabila semakin ramai yang memasuki pasaran tenaga kerja.

Daripada situ, pembangunan seterusnya mula melangkaui soal akses melalui pembangunan fizikal, dan menghala ke arah lapangan yang lebih bersifat ‘dalaman’ seperti pembentukan nilai dan institusi masyarakat.

Namun peredaran masa menyaksikan penyelesaian masalah pembangunan orang Melayu yang merupakan masalah negara, mula menjadi masalah Melayu yang eksklusif. Seolah- olah ada dua hala tuju yang selari tetapi berbeza – pembangunan negara dan pembangunan Melayu atau Bumiputera.

DEBObjektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) – yang bermatlamat untuk mencapai perpaduan dengan menghapuskan identifikasi kaum berdasarkan fungsi ekonomi – tidak dipenuhi ekoran perubahan dalam institusi dan dasar awam.

Sektor awam yang merupakan institusi negara didominasi Melayu, dan agenda Melayu menjadi eksklusif – oleh orang Melayu dan untuk orang Melayu. Ia telah hilang ciri nasionalnya. Apa yang sepatutnya menjadi langkah pembangunan berdasarkan keperluan menjadi layanan istimewa berdasarkan apa yang disifatkan sebagai hak.

Dan satu mitos pun dilahirkan – bahawa kerangka institusi ini perlu dipertahankan demi menjaga kepentingan Melayu. Sementara itu, masalah pembangunan masyarakat Melayu – pendapatan yang rendah dan pembahagian pendapatan yang herot – kekal dan dalam beberapa segi, menjadi semakin buruk.

Percanggahan ini perlu dipecahkan dan dibentuk semula. Model pemikiran yang salah ini tidak membebaskan minda dan psike orang Melayu, apatah lagi menjadikannya semakin maju. Minda Melayu perlu dibebaskan sepenuhnya bagi membolehkannya mencapai potensi sebenar.

Maka, apa yang sepatutnya menjadi agenda Melayu?

• Mentaliti feudal yang tertanam begitu dalam perlu diubah. Ia bertentangan dengan globalisme, persaingan dan kecemerlangan. Orang Melayu perlu yakin bahawa setiap seorang daripada mereka menentukannya nasibnya sendiri, dan pembaikan diri bergantung kepada usaha mereka, bukannya ditentukan oleh kelahiran atau bantuan dan naungan oleh mana-mana pihak. Berdikari adalah agenda Melayu.

• Masyarakat Melayu perlu memastikan demokrasi berfungsi dan tidak dicerobohi oleh mana-mana kumpulan minoriti. Perlu ada persaingan sihat dalam politik kerana itu sahaja yang akan dapat mewujudkan kerajaan yang cekap, dan yang akan menunaikan agenda Melayu yang juga merupakan agenda nasional. Dalam soal ini, perlu ada perdebatan serta kebebasan media dan maklumat. Selagi proses demokrasi berjalan, kehendak majoriti akan menang. Demokrasi adalah agenda Melayu.

• Oleh kerana pada puratanya orang Melayu adalah ketinggalan dalam pembangunan, mereka perlu bergantung kepada institusi awam. Maka, salah satu agenda Melayu yang penting adalah untuk memastikan sektor awam yang cekap, berkesan dan paling utama tidak dilumpuhkan oleh rasuah, serta sebuah sistem yang adil. Pencegahan rasuah adalah agenda Melayu.

kakitangan-awam• Pendidikan adalah faktor penyamarata yang amat baik, dan akses yang meluas telah meningkatkan kedudukan generasi pertama pasca-Merdeka. Namun sistem pendidikan negara sudah merosot di saat peranannya semakin diperlukan ekoran persaingan sengit dunia tanpa sempadan. Malaysia memerlukan sistem pendidikan bertaraf dunia yang membangunkan potensi individu setiap pelajar, melahirkan warga yang bersatu padu dan menyiapkan mereka untuk menyahut cabaran globalisasi. Reformasi pendidikan adalah agenda Melayu.

• Secara geografi, Malaysia terletak di kedudukan yang baik. Ini bukan sahaja memberikan kelebihan geografi, tetapi telah menyebabkan negara memiliki penduduk yang kosmopolitan, sebuah warna-warni Asia yang boleh memberikan kelebihan kepada negara dan kepada orang Melayu secara amnya. Masa depan negara dalam dunia tanpa sempadan ini bergantung kepada cara kita memanfaatkan dinamika ini. Maka, multirasialisme adalah agenda Melayu; untuk bercampur, hidup dan saling belajar antara satu sama lain.

• Orang Melayu harus berusaha ke arah menjadi satu masyarakat dibina di atas kepelbagaian. Perlunya wujud masyarakat madani yang berkembang maju, serta sifat toleransi terhadap perbezaan antara kelompok dalam masyarakat. Mereka perlu mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan dan lebih bergantung kepada kesukarelawanan dan inisiatif masyarakat. Kehidupan di masa depan adalah mengenai kehidupan berangkaian (networked living). Pembentukan modal sosial adalah agenda Melayu.

• Sudah lama saya menyimpulkan bahawa walaupun dengan kerangka institusi yang baik dan struktur insentif yang betul, hanya mereka yang berusaha akan mencapai kejayaan. Jalan ke arah kecemerlangan, dalam apa sahaja perkara, adalah kerja keras. Kerja keras bermaksud ketekunan, kedegilan dan usaha yang berterusan – gagal dan terus mencuba, lagi dan lagi. Maka akhir sekali, kerja keras adalah agenda Melayu.

Pembangunan dan kelangsungan orang Melayu bergantung kepada mereka sendiri, bukan kepada naungan sesiapa. Mereka tidak boleh dikhayalkan dengan kepercayaan bahawa negara dan kerajaan akan memberikan segalanya. Mereka perlu berfikir sendiri dan yakin untuk bersaing dan menang.

Jika kita tidak berfikir sendiri, kecenderungannya ialah kita melepaskan tanggungjawab walaupun dalam hal-hal peribadi.

Maruah seseorang terletak pada akhlaknya. Maruah dan akhlak saling bergantungan, dan tidak ditentukan oleh kedudukan ekonomi. Itulah peradaban Melayu.

Justeru, mempertahankan maruah adalah tentang mengenai memiliki akhlak yang baik dan menunjukkan kelakuan yang betul. Tiada apa yang hebat dengan bersikap biadab dan kasar. Itu hanya kurang ajar.

Orang Melayu perlu menolak sikap-sikap ini dan mereka yang memilikinya. Mereka harus memilih pemimpin yang memuliakan dan mengangkat martabat mereka untuk menjadi insan yang lebih baik, bukannya yang memperalatkan mereka dan mengambil kesempatan dari kelemahan mereka.

Dalam soal hubungan sesama manusia, Islam mengajar umat Islam untuk sentiasa berbuat baik dengan orang lain dan menjaga alam ini, selaku khalifah di bumi ini. Untuk memenuhi peranan itu, mereka perlu memiliki kemampuan ekonomi dan ilmu pengetahuan.

Inilah yang paling utama – berusaha mencipta kekayaan demi berkongsi dan menyebarkannya kepada orang lain.

Orang Melayu perlu menguasai ilmu demi memanfaatkannya dan menyampaikannya kepada orang lain. Malah, ini bukan hanya agenda Melayu, tetapi agenda nasional dan agenda manusia sejagat.

 

* Dr Nungsari A Radhi adalah seorang ahli ekonomi dan pengarah urusan Prokhas Sdn Bhd, di sebuah syarikat perunding milik Kementerian Kewangan Diperbadankan. Beliau juga mantan Ahli Parlimen (Umno) Balik Pulau. Rencana asal diterbitkan di dalam bahasa Inggeris di The Edge, September 28, 2015.