Sastera

CERPEN: Kandang binatang

DI HADAPANNYA ada sebatang jalan; di sebelah kanannya ada sebuah longkang; di kirinya ada sebuah lubang kubur; dan di bawah kerusi batu yang didudukinya tergeletak satu kepala babi.

Apa yang kepala babi itu buat di situ Rumi tidak tahu. Bahkan namanya sendiri dia tidak tahu. Nama Rumi dipakainya kerana ia menjengah tiba-tiba dalam benaknya, dan juga kerana setiap orang perlukan nama (hanya orang mati bebas dari sebarang nama, fikir Rumi, dan dia sesungguhnya masih belum bersedia untuk mati).

Dia ingin, sangat ingin, menyentuh kepala babi itu tapi dibatalkannya keinginan itu. Dia tahu babi tidak boleh disentuh kerana ia najis (Rumi hampir tergelak bila dalam kepalanya terpancar imej selonggok najis—secara literal—sedang melintas di hadapannya dengan bunyi oink oink oink yang lantang).

Waktu dia asyik disapa keinginan dan bayangan dalam kepalanya, sekumpulan manusia berkepala anjing Husky—lima orang semuanya dan setiap mereka berpakaian kemeja kot yang dibutang habis—muncul dari jalan dan berhenti di hadapannya (Rumi merenung mereka dengan aneh pada mulanya, sebelum rasa lucu hampir saja keluar dari pagar giginya dalam bentuk kekekan halus, tapi berjaya ditahannya).

‘Kami orang audit,’ kata salah seorang dari mereka (yang mana satu Rumi tidak pasti memandangkan setiap mereka berwajah serupa dan sama-sama menjelirkan lidah). ‘Dan kami datang untuk membentangkan hasil audit. Kau didapati telah melakukan kesalahan.’

‘Kesalahan apa?’ Tanya Rumi.

‘Kesalahan kau adalah kau telah lakukan kesalahan,’ kata pula yang lain (masih juga Rumi tidak tahu yang mana satu).

Rumi bingung. Dia berfikir dalam-dalam, jauh lebih dalam dari biasa (kepalanya rasa sakit, sama ada kerana dia mengidap migrain atau kerana dia jarang berfikir sejauh itu sebelum ini), dan setelah beberapa ketika dia masih juga bingung akan maksud kata-kata itu. Namun dia, dengan bersungguh-sungguh, tetap menjawab:

‘Aku tak pernah lakukan kesalahan itu.’

Namun, sama ada para manusia berkepala anjing di hadapannya itu tidak mendengar atau butir suaranya tersekat di biji kerongkong, salah seorang manusia anjing itu berkata:

‘Kafarahnya adalah kau perlu bersajak.’

‘Aku tak pandai bersajak.’ Kata Rumi.

‘Kau pandai bersajak,’ balas yang lain pula (tapi Rumi rasa ia orang yang sama). ‘Sebab kau lahir dari rahim seorang penyajak.’

‘Sekalipun aku pandai, aku takkan bersajak. Sajak hanya untuk orang mati.’ Dia diam seketika, bagaikan ada lintasan ilham mengilat dalam kepalanya, dan menyambung: ‘Bahkan orang mati pun tak peduli pada sajak. Sajak ditulis oleh orang mati dan dibacakan kepada bukan-sesiapa.’

‘Bukan-sesiapa itu maknanya kekosongan,’ pintas salah seorang manusia anjing. ‘Jadi maksud kau sajak ditulis untuk kekosongan?’

Rumi berfikir sejenak, dan lama sedikit dia pun mengangguk (anggukannya bukan bermakna manusia anjing itu betul. Ia cuma bermakna dia tidak salah. Bagi Rumi ‘betul’ dan ‘tidak salah’ adalah dua kata berbeza yang mempunyai dua makna berbeza).

‘Kekosongan adalah kubur. Dan kubur itu adalah ibu kau. Dia seorang penyajak, dan dia melahirkan kau seharusnya sebagai penyajak juga.’

Rumi menoleh ke kiri, ke arah kubur yang ternganga luas beberapa inci dari kakinya. Dia tertanya-tanya jika benar kubur itu adalah ibunya dan, jika benar begitu, apa pula maksud kepala babi yang berada di antara celah kakinya.

‘Kepala babi itu milik bapa kau,’ kata entah yang mana, bagaikan dapat meneka persoalan di benak Rumi.

‘Kau bunuh dia, makan isi tubuhnya, dan letak kepalanya di bawah kangkang kau.’

‘Kau tipu,’ kata Rumi, sedikit marah. ‘Aku tak pernah buat macam tu.’

‘Kau boleh tipu diri sendiri tapi kau tak boleh tipu hakikat. Pernah kau baca Animal Farm?’

‘Tak pernah tapi ceritanya pasti berkaitan binatang.’

‘Tak, ia cerita manusia.’

‘Ia kisah binatanglah,’ sampuk entah yang mana.

‘Tak, ia kisah manusia,’ balas entah yang mana pula.

‘Buktinya ia ditulis oleh manusia. Manusia adalah makhluk yang paling pentingkan diri sendiri, jadi mereka hanya menulis kisah berkaitan diri mereka, untuk dibaca diri mereka. Tapi oleh kerana mereka tidak dapat menanggung kebenaran yang diungkapkan kisah itu, tidak mampu merasionalkan isinya tanpa memalukan diri sendiri, mereka mencanangkan kepada semua bahawa ia adalah kisah binatang.’

Tiba-tiba jerit salah seorang dari mereka: ‘Fatwa mana kau pakai? Jangan kau jawab Nietzche sebab eja namanya pun kau selalu silap.’

‘Tak, aku tak pakai Nietzche. Aku pakai kata-kata yang aku kutip dari longkang.’

‘Longkang mana?’

Salah seorang manusia anjing itu menuding jarinya pada longkang di sebelah kanan Rumi. Rumi menjengah kepalanya sedikit, dan dalam longkang itu dia melihat timbunan kata-kata: ada yang terselut kotoran, ada juga yang masih putih bersih (bagi Rumi, yang putih bersih itulah yang paling malang kerana ia adalah secebis kesucian yang terperangkap dalam selautan kotoran).

Dia juga sempat mengerling pada kata-kata keramat Sartre yang separuh terselut jelaga: neraka adalah orang lain.

Kemudian, di hadapannya, lima orang anjing itu mula bertikam lidah, lantang sekali. Rumi tidak dapat menangkap butir kata mereka, tapi dia fikir boleh jadi ia sesuatu yang penting. Namun bila dia rasa pertengkaran itu terlalu berlarutan, Rumi berkata:

‘Jadi inilah wajah sebenar kau semua?’

Mereka diam serentak, dan salah seorang dari mereka menjawab: ‘Tak. Wajah sebenar kami ada di sebalik kepala anjing ini.’

‘Boleh aku tengok?’

‘Wajah kami adalah kebenaran. Bolehkah kau menanggung kebenaran?’

Rumi mengangguk. Dia tahu anjing yang berkata itu menipu. Wajah mereka bukanlah kebenaran kerana bagi Rumi, kebenaran adalah seekor semut hitam menjalar-jalar yang terjatuh ke dalam sebuah perigi yang pekat hitam; di dalamnya ia tak nampak apa-apa dan apa-apa tidak nampak ia.

Kelima-lima manusia anjing itu mencabut kepala masing-masing, dan di balik kepala anjing itu tertonjol keluar kepala babi. Mata Rumi terbeliak. Benar kata mereka, dirinya sama sekali tidak mampu menanggung ‘kebenaran’ itu.

Hari itu Rumi mengoyak-ngoyakkan wajahnya.

 

*Syafiq Ghazali adalah penulis muda yang aktif dalam penulisan cerpen dan sajak. Karyanya kerap tersiar di dada akhbar mahupun beberapa antologi bersama penulis lain.