Rencana

Hansard Parlimen bukti BN ‘twist’ perkataan Kit Siang

KELMARIN, Lim Kit Siang mengamuk di Dewan Rakyat, beliau berang dengan usul penggantungan yang dicadangkan Datuk Azalina Othman​.

Untuk rekod, usul itu diluluskan selepas 107 menyokong dan 77 tidak menyokong. 9 ahli parlimen pembangkang tidak hadir sewaktu pengundian dilakukan, dan daripada 9 itu, 7 dari PAS dan 2 dari PKR.

Sewaktu Kit Siang berucap mempertahankan diri, beliau ada mengatakan Ahli Parlimen (BN) tidak pandai membaca hansard, kerana menuduh beliau melakukan tuduhan seperti yang dicadangkan Azalina.

Apa yang saya perhatikan, memang benar apa yang dipertahankan oleh Kit Siang. Tiada satu pun ayat yang menuduh speaker salah guna kuasa, sabotaj atau diktator.

hansard kit siangSetelah saya membaca hansard Dewan Rakyat 19 Oktober, 2015, maka jelaslah Kit Siang bertanyakan soalan, bukan menuduh.

Beliau menjadi mangsa konspirasi ahli Parlimen BN untuk menggantung beliau. Sudah tentu, apabila didesak untuk meminta maaf, Kit Siang tidak berbuat demikian, kerana memang jelas beliau tidak melakukan tuduhan tersebut.

Mengapa perlu minta maaf kalau kita tidak membuat salah. Ahli Parlimen BN jelas menjadi pembuli di sini!

Sebagai Ahli Parlimen veteran yang sudah berada 40 tahun di dewan rakyat, sudah tentu Kit Siang tahu batas-batas ketika berhujah.

Episod ini menunjukkan kepada kita, Dewan Rakyat yang dikuasai BN berkuasa untuk menggantung sesiapa sahaja yang mereka mahu darinya, cuma perlu menunggu Ahli Parlimen pembangkang mengeluarkan perkataan yang boleh digunakan untuk mereka ‘twist’ sesuka hati.

Selain itu, ahli Parlimen pembangkang juga masih lagi dengan sikap acuh tak acuh, tidak bersungguh-sungguh dalam memastikan kehadiran penuh.

Malah, mereka tidak rasa bersalah sedikit pun untuk ponteng sidang! Bagaimana mungkin mereka boleh berjaya melakukan usul tak percaya terhadap perdana menteri?

 

* Dipetik dari The Malaysian Insider tanpa suntingan kecuali aspek bahasa dan tajuk. Muhamad Harris Nasril antara individu popular di dunia facebook sebagai ‘kaki troll’.