Rencana

Rintihan mahasiswa Mesir tentang Bajet 2016

MENELITI bajet kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak, berderai air mata mahasiswa di Mesir.

Sebak rasanya melihat bajet yang langsung melupakan kewujudan mahasiswa di Timur Tengah khususnya di Mesir.

Kehidupan kami di negara ini tenat setelah kejatuhan nilai ringgit. Yuran yang dibayar mengikut nilai Dolar Amerika, memberi kesan yang sangat parah kepada mahasiswa.

Mahasiswa perubatan di Mesir, misalnya terpaksa membayar USD8,000 setahun bersamaan RM34,000 (berdasarkan nilai tukaran semasa) manakala mahasiswa Ulum Islamiah pula USD1,000.

Ini sangat membebankan. Ibu bapa pula sedia kala terbeban kerana kehidupan di Malaysia akibat dihimpit cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang dan tol.

Pada masa sama, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak lagi berminat menaja mahasiswa di Mesir.

Tiada pilihan lagi, mahasiswa terpaksa mendahulukan wang sendiri. Ada beberapa kerajaan negeri yang peka, membantu melalui Pusat Urus Zakat. Itupun belum mencukupi.

Sebenarnya, mahasiswa ternanti-nanti dengan penuh harapan untuk melihat sesuatu dalam bajet khususnya bantuan pendidikan untuk kami, namun hampa.

Bajet 2016 memperuntuk biasiswa kepada JPA, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan, MARA tapi tiada satu pun, bantuan khas buat mahasiswa pelajar perubatan dan Ulum Islamiah di Mesir.

Kami sangka dengan pelantikan Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai anggota kabinet kerajaan, akan dapat kami sandarkan harapan kepada mahasiswa pelajar pendidikan Islam dan perubatan, namun kami terus dilupakan.

Tiada peruntukan untuk kami dalam bidang pendidikan. Tiada juga peruntukan, juga di ruang Bumiputera.

Penantian yang kami tatang dengan sepenuh harapan berkecai. Kami dilayan tak ubah ibarat dianak tiri.

 

*Al-Filfilany ialah mahasiswa Universiti al-Azhar di Mesir