Rencana

Apakah nasib Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia?

PADA September 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, dokumen yang dimanifestasi Menteri Pendidikan ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai paling komprehensif dan transformasi kerajaan paling besar dalam mendapatkan pulangan terbaik modal insan bagi memacu semua aspirasi pembangunan negara.

Pelan pembangunan itu dihasilkan sebagai tindak balas kepada kemerosotan standard murid Malaysia berbanding dengan rakan-rakan mereka dalam penilaian antarabangsa seperti PISA (Programme for International Student Assessment) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study).

Mengikut penilaian PISA pada 2012, suatu kajian tiga tahun sekali yang dijalankan OECD (Organisation for Economic Cooperation and Development) pada kanak-kanak berusia 15 tahun dalam bidang Bacaan, Matematik dan Sains, Malaysia berada pada kedudukan ke-52 daripada 65 negara.

Dalam ketiga-tiga bidang itu, murid Malaysia berada pada kedudukan jauh di bawah purata, bahkan tewas kepada negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Vietnam. Malah, keputusan Malaysia memperlihatkan kemerosotan dari penilaian PISA sebelumnya pada 2009.

Corak kemerosotan itu dikesan dalam penilaian empat tahun sekali TIMSS yang menyaksikan Malaysia mengalami kemerosotan terbesar dalam kalangan 59 negara sejak 1999. Walaupun memperoleh kedudukan ke-16 dalam mata pelajaran Matematik dan ke-22 bagi Sains pada 1999, prestasi mereka menurun kepada tangga ke-26 (Matematik) dan ke-32 (Sains) pada 2011.

Lebih membimbangkan, 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai penanda aras antarabangsa minimum dalam Matematik dan Sains pada 2011, berbanding 20 peratus pada 2007 dan kira-kira lima hingga tujuh peratus pada 2003. Pada masa sama, hanya dua peratus mencapai penanda aras antarabangsa tertinggi pada 2011 – penurunan besar daripada 10 peratus pada 1999.

Tidak seperti Malaysia, negara Asia lain seperti Taiwan, Singapura, Korea Selatan dan Hong Kong, semuanya menunjukkan peningkatan sejak 1999.

Timeline CoverOleh itu, pelan pembangunan itu mengenal pasti meskipun murid kita cemerlang dalam ‘memuntahkan’ semula kandungan mata pelajaran, mereka tidak berdaya saing dalam penilaian seperti PISA dan TIMSS kerana ‘tidak mampu menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi.

Menyedari keperluan mengasah kemahiran yang membolehkan murid membuat penaakulan, mengekstrapolasi, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif’, pelan pembangunan menggariskan 11 anjakan yang bakal mengubah sistem berorientasi peperiksaan kepada sistem yang kurang tertumpu kepada meramal soalan dan topik dan penghafalan bulat-bulat’ – sebaliknya melatih murid untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan mereka dalam persekitaran yang berbeza.

Dengan matlamat mencapai kedudukan dalam satu pertiga teratas pada peringkat global melalui penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS pada 2025, banyak pembaharuan pendidikan dilaksanakan.

Di peringkat sekolah rendah, kurikulum KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah) digantikan dengan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) bagi meluaskan tumpuan kepada pembangunan 3M (membaca, menulis dan mengira) kepada 4M dengan penambahan unsur keempat, Menaakul.

Selain itu, pelan pembangunan juga mengakui peperiksaan sumatif seperti UPSR, PMR dan SPM ‘pada masa ini tidak menguji rangkaian penuh kemahiran yang dihasratkan oleh sistem pendidikan’. Justeru, bagi mengalih tumpuan daripada pembelajaran hafalan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, pentaksiran berasaskan sekolah diperkenal dan dimasukkan dalam peperiksaan UPSR dan SPM manakala PMR akan dimansuh.

Malah, pelan pembangunan menyatakan dengan jelas bahawa menjelang 2016: ‘Sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan peperiksaan UPSR dan 50 peratus dalam SPM terdiri daripada soalan pemikiran aras tinggi.’

Sejajar hala tuju baru itu, satu pekeliling bertarikh 22 Februari 2011 dikeluarkan Kementerian bagi memaklumkan bahawa format peperiksaan UPSR berubah 100 peratus berasaskan peperiksaan pusat bertulis kepada hanya 60 peratus manakala baki 40 peratus diperoleh daripada pentaksiran berasaskan sekolah. Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan, format baru itu dijadual bermula pada 2016.

Maka, sejak 2011, lima tahun dihabiskan bagi menyediakan ratusan ribu guru dan murid untuk kaedah penilaian baru itu. Malah, pelbagai cabaran ditempuhi semasa pelaksanaan awal. Berikutan bantahan guru yang kecewa dengan proses yang rumit dan tidak cekap, sistem pentaksiran berasaskan sekolah itu kemudian dirombak dan dipermudah.

Malangnya, setelah hanya dua tahun pelaksanaan pelan pembangunan itu, beberapa dasar pembaharuan kini diterbalikkan.

Pada 9 Oktober 2015, satu pekeliling dikeluarkan membatalkan keputusan 2011 itu. Ini bermakna perubahan yang sepatutnya menggabungkan 40 peratus pentaksiran berasaskan sekolah dalam peperiksaan UPSR pada tahun depan dibatal dan UPSR terus menjadi 100 peratus peperiksaan pusat bertulis.

kementerian pendidikanKeputusan flip-flop KPM itu telah mensia-siakan semua masa dan sumber yang dilabur bagi menyiapsediakan pelbagai pihak untuk menghadapi format UPSR baru, apatah lagi usaha dalam membangun, melaksana dan kemudian merombak semula sistem pentaksiran berasaskan sekolah.

Selain meresapkan pentaksiran berasaskan sekolah dalam UPSR dan SPM, pelan pembangunan juga menyatakan penilaian secara amali bagi mata pelajaran sains akan diperkenal semula mulai tahun 2015.

Bagaimanapun, dasar itu juga tidak menjadi berikutan pengumuman awal tahun ini bahawa peperiksaan amali untuk Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan yang dijadual berlangsung pada SPM tahun ini, ditangguh.

Satu lagi masalah asas yang dikenal pasti oleh pelan pembangunan ialah kelemahan dalam penguasaan bahasa Inggeris, faktor yang dikenal pasti sebagai lima isu utama yang dihadapi oleh majikan di Malaysia. Tambahan pula, hanya 28 peratus daripada murid mendapat kredit minimum dalam kertas bahasa Inggeris SPM 2011 berdasarkan standard Cambridge 1119.

Oleh itu, antara langkah yang disyor melalaui pelan pembangunan untuk menangani kelemahan itu ialah menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus pada peringkat SPM bermula 2016. Dasar itu juga kini ditangguh, ini mengecewakan ramai ibu bapa dan aktivis pendidikan yang lama menuntut komitmen untuk memperteguh kepentingan meningkatkan taraf penguasaan bahasa Inggeris yang kian merosot.

Keputusan flip-flop itu bukan sahaja membazirkan bertahun-tahun masa dan usaha untuk melatih dan menyiapsediakan guru-guru, ibu bapa dan murid-murid, ia juga menimbulkan tanda tanya mengenai kerelevanan pelan transformasi pendidikan 12 tahun yang dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Apa gunanya pelan pembangunan itu sekarang, apabila langkah-langkah utamanya tidak dituruti?

Implikasi pusingan U dalam dasar pendidikan amat serius, kerana ia bukan sahaja mendedahkan kegagalan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pembaharuan yang disyor pelan pembangunan tetapi juga untuk menyiapsediakan murid dan guru untuk format penilaian baru.

Jika objektif jangka pendek pun tidak dapat dipenuhi, maka ada sebab kukuh untuk mempercayai bahawa pelan pembangunan itu tidak lebih daripada sekadar percubaan yang tidak realistik serta tidak ikhlas bagi memperbaharui sistem pendidikan.