Berita

Skandal 1MDB: DAP sokong penuh pendirian Raja-raja Melayu

KUALA LUMPUR 27 OKT: DAP menyokong penuh kenyataan Majlis Raja-Raja tentang perlunya mencari punca skandal 1MDB yang mengakibatkan krisis keyakinan dan membawa kesan negatif terhadap ekonomi Malaysia dan nilai ringgit.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP di sini malam tadi, pimpinan parti mahu Kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah itu tanpa menyembunyikan sebarang fakta dan kebenaran, selain engambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Pendirian DAP disuarakan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng pada kenyataan media hari ini.

Awal bulan ini, Raja-raja Melayu yang tidak pernah mengeluarkan kenyataan dalam hal seperti itu sebelum ini menyatakan pendirian mereka agar kerajaan menyelesaikan dengan secepat mungkin siasatan terhadap isu 1MDB.

Pihak Raja-raja mahu “penemuan siasatan dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan Kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran”.

“Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.

“Akibatnya rakyat percaya sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberikan impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia,” titah Raja-raja melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Dato Sri Syed Danial Syed Ahmad pada 6 Oktober lalu.

Justeru, Guan Eng berkata, DAP mengecam tindakan Barisan Nasional yang zalim apabila menggantung Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang selama enam bulan, semata-mata kerana mahu menyekat kritikan terhadap skandal RM42 bilion 1MDB dan skandal RM2.6 bilion “derma” yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

“DAP akan menganjurkan roadshow sebagai tanda sokongan dan solidariti bersama dengan Kit Siang bagi menyerlahkan perjuangannya yang mahu Parlimen mendapat jawapan dan penjelasan sebenar terhadap skandal-skandal kewangan tersebut,” katanya.

Mesyuarat DAP malam tadi membantah sekeras-kerasnya akujanji kerahsiaan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Parlimen yang baru dilantik kerana ia usaha menghalang perbincangan tentang skandal kewangan, khususnya melibatkan 1MDB, serta mendesak pendengaran PAC dibuka kepada awam seperti amalan negara Komanwel.

Sementara itu, Guan Eng berkata, pimpinan DAP menyampaikan takziah kepada keluarga Orang Asli di Pos Tohol, Kelantan atas kematian lima kanak-kanak yang sebelum itu hilang di hutan.

“Kami mendesak kerajaan pusat menangani isu berbangkit yang mengakibatkan tragedi itu dan membuat rombakan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme bantuan dalam Jabatan Hal Ehwal Orang Asli untuk memastikan bukan sahaja tidak berulang lagi kejadian sedemikian tetapi juga untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab, di samping meningkatkan jentera bantuan untuk Orang Asli,” katanya.

Berhubung isu politik semasa, jawatankuasa tertinggi DAP telah mengesahkan pembentukan Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, Amanah dan DAP di semua negeri, penubuhan Sekretariat Pakatan Harapan Kebangsaan, dan persediaan untuk Konvensyen Pakatan Harapan peringkat Kebangsaan dan Negeri yang akan diadakan tahun depan.

Semua usaha itu akan memberi tumpuan kepada isu ekonomi, terutamanya kegawatan ekonomi, kesulitan mencari nafkah hidup dan tekanan kewangan akibat pelaksanaan GST dan merudumnya nilai Ringgit. – Roketkini.com