Berita

1MDB: Media Melayu buat ‘pekak badak’ terhadap teguran Raja-raja Melayu

KUALA LUMPUR 10 NOV: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching kesal berikutan media berbahasa Melayu menggelapkan kenyataan Majlis Raja-raja Melayu mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sekalipun kenyataan itu sangat penting, beliau berkata teguran Raja-raja Melayu itu tidak mendapat liputan meluas dari kebanyakan media cetak arus perdana khususnya akhbar berbahasa Melayu.

Rulers stmt 1mdbMalah, katanya media tempatan berbahasa Melayu seolah-olah bersikap ‘pekak badak’ terhadap kenyataan Majlis Raja-raja Melayu itu yang mahu siasatan dibuat seberapa segera.

Justeru, Nie Ching berkata, DAP mengambil inisiatif mencetak 100,000 keping kenyataan itu untuk disebar kepada rakyat khususnya kawasan pedalaman yang kebanyakan dihuni penduduk keturunan Melayu.

“Dengan ini, rakyat dari segenap lapisan akan memperoleh gambaran sebenar situasi yang menimpa negara,” katanya pada sidang media pelancaran kempen ‘Pantang Undur – Kempen Solidariti Bersama Kit Siang: Mana RM2.6 bilion’, hari ini.

1mdb campaignPada 6 Oktober lalu. Majlis Raja-raja Melayu membuat kenyataan yang meminta kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas dan wajar terhadap pihak terlibat.

Kenyataan dianggap sebagai teguran lantang kerana ia tidak pernah dibuat sebelum ini berikutan Majlis Raja-raja Melayu lazimnya hanya membuat kenyataan berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.

Sebelum ini, Pakatan Harapan Johor termasuk Johor sudahpun memulakan kempen penerangan kepada rakyat dengan menyebar risalah pendedahan skandal 1MDB termasuk memuatkan kenyataan Majlis Raja-raja Melayu.