Berita

Kit Siang seru sidang meja bulat kebangsaan atasi kemelut 1MDB

KUALA LUMPUR 12 NOV: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini menyeru semua pimpinan pelbagai pihak mengadakan sidang meja bulat peringkat kebangsaan bagi berbincang untuk menyelesaikan masalah di negara ini termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, mereka termasuk pemimpin dari kalangan masyarakat, agama, politik komuniti dan masyarakat sivil untuk mencari jalan penyelesaian demi memastikan Malaysia kembali bersaing dengan negara terbaik di dunia.

Beliau berkata, pimpinan parti pemerintah terbukti gagal menyelesaikan kemelut masalah, malah merekalah pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan Malaysia terjerumus dalam masalah.

“Malaysia mesti keluar masalah itu selepas sekian lama terperangkap dalam skandal ‘derma’ RM2.6 bilion dan skandal RM50 bilion 1MDB yang menyebabkan negara semakin terkebelakang.

“Kita harus mengembalikan keyakinan diri untuk bersaing dengan negara terbaik di dunia. Kita mesti mencari semula kehebatan kita sebagai rakyat Malaysia ,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

lim kit siangAhli Parlimen Gelang Patah itu, berkata negara disibukkan dengan pelbagai krisis dan skandal yang gagal ditangani dengan baik menyebabkan pandangan dunia terhadap Malaysia pada dekad awal, berubah.

Pada masa ini, katanya, Malaysia jauh ketinggalan dari segi ekonomi, malah berkemungkinan diatasi negara lain dari Asia dan Afrika berikutan gagal bangkit dari krisis kewangan Asia pada 1990-an.

Beliau berkata, Malaysia mulai kehilangan daya saing dalam perlumbaan ekonomi dan pendidikan berbanding Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan sedangkan Malaysia dulunya dianggap Harimau Ekonomi Asia.

Apabila Malaysia ditubuh 52 tahun lalu pada 1963, negara kita kedua di Asia selepas Jepun dari segi pembangunan ekonomi, kemakmuran dan pendapatan per kapita, lebih kaya dari negara Asia lain termasuk Korea Selatan dan Taiwan.

“Ketika itu, rakyat Malaysia sentiasa menaruh harapan tinggi dan memiliki impian besar. Korea Selatan dan Taiwan pula jauh ketinggalan dan lebih miskin,” katanya.