Berita

YaPEIM: JPM perguna institusi agama ‘halalkan’ seleweng dana

KUALA LUMPUR 12 NOV: Pendedahan mengenai penyelewengan dana institusi agama termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), bukan pertama kali berlaku di negara ini, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Beliau berkata ia mengingatkan kembali kepada penggunaan wang Lembaga Tabung Haji untuk membeli tanah pada harga RM188.5 juta yang memberi keuntungan atas angin RM184 juta kepada 1Malaysia Developemt Berhad (1MDB).

Sebelum ini, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain pernah didakwa menggunakan wang zakat Wilayah Persekutuan untuk membiayai kos guaman.

“Jika semua agensi dan yayasan disiasat, lebih banyak penyelewengan kuasa akan dijumpai. Maka, tidak hairanlah apabila betapa banyak sekalipun institusi atas nama Islam ditubuh, umat Islam di negara ini tetap tidak terbela,” katanya.

Semalam, National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW) mendedahkan, sebuah keluarga pentadbiran atasan YaPEIM membolot 26 jawatan dengan jumlah gaji RM154,700 sebulan.

Seorang pimpinan wanita Umno Kelantan didakwa menerima gaji bulanan RM45,500 daripada tujuh jawatan yang disandangnya manakala anak lelakinya (RM31,200) dan suaminya (RM5,000), bermakna keluarga itu mendapat RM81,700 sebulan.

Seorang lagi pimpinan YaPEIM memperoleh pendapatan RM73,000.00 sebulan dengan memegang 12 jawatan.

Zairi lKhir JohariZairil menyifatkan bayaran kepada anak beranak itu umpama menggunakan Islam untuk menghalalkan penyelewengan, apatah lagi NOW mendedahkan sejumlah RM223,000 pernah disalur terus kepada pemimpin Wanita Umno itu pada kempen Pilihan Raya Kecil Rompin April lalu.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata penyalahgunaan dana sebuah institusi agama yang mengutip derma daripada 588,930 pencarum bulanan suatu perbuatan keji yang wajib dikutuk keras.

Jika benar, katanya, pendedahan itu membuktikan kecenderungan dana sesebuah agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu disalah guna bagi kepentingan individu.

Tambah malang, katanya, agensi itu adalah yayasan yang diberi mandat untuk membantu orang Islam di negara ini, dengan sebahagian daripada dananya hasil sumbangan orang ramai.

“Jelas, nama Islam dicemari institusi dan agensi agama yang bukan sahaja menyeleweng dana dan tidak menjaga kebajikan umat, malah lebih berminat mengawal moral masyarakat atau menganjurkan program ‘keagamaan’ semata-mata.

“Bukankah lebih baik jika segala tenaga dan sumber digunakan bagi menangani jurang pendapatan, kemiskinan kota dan lain-lain isu sosio-ekonomi yang menjadi pokok permasalahan sosial?

“Bukankah kemiskinan itu yang sebenarnya menghampirkan orang dengan kekufuran, sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Nabi?” katanya pada kenyataan media hari ini,

Justeru, Zairil mendesak kerajaan membuat penjelasan terhadap dakwaan itu dan segera merombak semula pengurusannya supaya yayasan itu diurus secara profesional dan menjalankan tanggungjawab, bukan menjadi sumber habuan politik.