Berita

Pengiktirafan Batu Sumpah Keningau kemenangan orang Asal Sabah

SABAH 17 NOV: DAP Sabah menyifatkan pengiktirafan Batu Bersumpah Keningau sebagai Tapak Warisan Negara sebagai detik bersejarah terhadap perjuangan orang Asal di negeri ini.

Ia juga suatu kemenangan kepada kegigihan Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah diketuai Dr Edwin Bosi yang gigih berjuang dan terpaksa menghadapi pelbagai ugutan serta cemuhan demi menerapkan kesedaran batu sumpah itu dalam kalangan rakyat Sabah.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin menyifatkannya Kerajaan Persekutuan akhirnya akur kepada perjuangan rakyat Sabah apabila Kementerian Pelancongan mengumumkan untuk mengiktiraf batu sumpah itu.

“Segala usaha keras menuntut kerajaan memenuhi jaminan yang terpahat pada Batu Sumpah Keningau supaya diiktiraf akhirnya membuahkan hasil.

“Ia juga kemenangan bagi seluruh rakyat Sabah khususnya 60 peratus populasi masyarakat Orang Asal yang menjadi rakyat Sabah,” kata Pengerusi DAP Sabah itu pada kenyataan media, hari ini.

jimmy wong2Pengiktirafan itu diberi Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan parlimen Jimmy berhubung pengiktirafan kerajaan terhadap monumen itu, semalam.

Sejak Kempen Gerakan Batu Sumpah dilancar DAP Sabah pada Ogos 2014 dengan kerjasama Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah, beliau berkata, sebanyak sembilan replika batu sumpah didirikan.

Menyatakan daerah itu ialah Penampang, Merotai, Keningau, Tenom, Inanam, Sook dan Matunggong, Jimmy berkata, Gerakan Batu Sumpah itu melangkaui politik kepartian kerana ia melibatkan tradisi dan budaya seluruh rakyat negeri ini.

“Ia sebagai peringatan terhadap jaminan bersejarah diberi kepada rakyat pedalaman Sabah mengenai tiga hak mereka sewaktu penubuhan Malaysia pada 1963 berkaitan agama, tanah dan adat resam,” katanya.