Berita

Cadangan elak konfrantasi, DAP ingatkan PKR pengkhianatan PAS

KUALA LUMPUR 17 NOV: DAP sama sekali tidak menolak sebarang usaha mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tetapi mengingatkan PKR mengenai sejarah pengkhianatan PAS sebelum ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook, berkata pimpinan tertinggi Pakatan Harapan perlu sedar dan realistik bahawa pimpinan tertinggi PAS hari ini tidak akan berkompromi dengan Parti Amanah Negara dan DAP.

“Sudah tentu PKR cukup memahami perkara ini kerana mereka juga pernah dikhianati oleh PAS di beberapa kerusi yang ditandingi oleh PKR dalam PRU 13,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menyatakan tiada manfaat bagi parti dalam Pakatan Harapan untuk mengambil pendirian konfrontasi terhadap PAS.

Sebaliknya, beliau dilapor berkata Pakatan Harapan untuk melibatkan diri dengan PAS bagi memastikan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya umum akan datang.

Siew Fook berkata, DAP bukan berkonfrontasi dengan PAS tetapi pimpinan tertinggi terutama presidennya yang mengisytihar ‘perang’ terhadap DAP apabila membuat pengumuman untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi DAP.

“Serangan tidak berasas PAS terhadap DAP juga dapat dilihat melalui tuduhan liar Presiden PAS yang mendakwa DAP cuba memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan untuk ‘menghalalkan’ perjudian dan arak kepada umat Islam,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Seremban itu, berkata semua parti dalam Pakatan Harapan perlu menyedari pimpinan tertinggi PAS secara terbuka menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO.

“Bukti terbaru ialah keputusan PAS untuk tidak menolak Bajet 2016 di Parlimen semalam,” katanya yang menghargai segelintir pimpinan PAS yang berani melawan UMNO BN.

Beliau merujuk kepada tiga Ahli Parlimen PAS yang mengingkari arahan dengan mengundi menolak Bajet 2016 iaitu Dato’ Mahfuz Omar (Pokok Sena), Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian) dan Datuk Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh).

” Namun, keberanian mereka tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan tertinggi PAS yang dilihat lebih mesra dengan BN daripada Pakatan Harapan ketika ini.

“Justeru, semua parti dalam Pakatan Harapan perlu memperkuat jentera pilihan raya di semua peringkat dan bersiap sedia untuk menghadapi senario baru dan realiti politik semasa pada PRU 14.

“Ini termasuk kemungkinan bertembung dengan BN dan PAS di kebanyakan kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan,” katanya.