Berita

Kenaikan elaun KAFA manifesto bersama, Khairuddin patut tarik balik fitnah

KUALA LUMPUR 17 NOV: Tiada sebab Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menganggap kenaikan elaun guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) sebagai perbuatan PAS ‘berbuat jahat’ kerana ia sebahagian manifesto Pakatan Rakyat Selangor.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata hal itu dipersetujui DAP dan PKR kerana ia sebahagian dasar bersama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Katanya, Guan Eng pada Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2015 di sini, 15 November lalu tidak menyentuh kenaikan elaun guru KAFA, pemerkasaan institusi masjid mahupun penubuhan Kolej Intergrasi Tahfiz Selangor sebaliknya memetik kes di Kelantan.

Sebaliknya, beliau berkata, Guan Eng hanya memetik contoh kes pembalakan di hutan simpan kekal di Kelantan yang dibongkar Adun Salor, Husam Musa hingga mengakibatkan banjir besar, setahun lalu.

Lau-Weng-San-01“Inilah perkara jahat yang disebut Guan Eng berlaku di negeri yang dikatakan sebagai kubu kuat PAS hingga parti pembangkang UMNO pun tidak berdaya mendedahkan skandal itu.

“Bayangkan kalau DAP keluar dari Kerajaan Selangor, sudah pasti mekanisme pemantauan menjadi lemah, maka tiada sesiapapun boleh menolak kemungkinan berlakunya musibah sama,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman semalam yang menuduh Guan Eng melabel PAS ‘buat jahat’ dengan mengaitkannya dalam isu kenaikan elaun guru KAFA.

Justeru, Weng San menyeru Khairuddin supaya menarik balik fitnahnya terhadap Guan Eng dan memohon maaf atas tuduhan tidak berasas itu, apatah lagi kenyataan itu diterbitkan beberapa media berbahasa Melayu dan tersebar di Facebook.

“Sebagai seorang ahli politik dan peguam bertauliah, Khairuddin pasti tahu bahawa kejujuran dalam berhujah dan perbicaraan yang berdasarkan fakta ialah kualiti yang wajib ada,” katanya.

Jun lalu, Kerajaan Pulau Pinang memberi bantuan khas hari raya RM300 kepada penyelia dan guru KAFA, selain Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat manakala RM200 untuk guru tahfiz dan guru pondok serta guru Tadika Islam.