Berita

Pecahan peruntukan dirahsia, taktik menganak tiri sekolah vernakular?

KUALA LUMPUR 18 NOV: Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar khuatir Kerajaan Persekutuan menganak tiri sekolah vernakular berikutan pengurangan peruntukan pembangunan sekolah sebanyak RM300 juta tanpa memberi pecahan aliran sekolah seolah-olah ia sengaja dirahsiakan .

Beliau bimbang sekolah vernakular akan menjadi mangsa perebutan peruntukan semua sekolah lain dan berharap Menteri Pendidikan memberi pecahan peruntukan mengikut jenis untuk mengelakkan salah laku.

“Adakah kerajaan cuba menutup sesuatu? Saya cukup khuatir kerana kerajaan pasti akan memberi keutamaan kepada sekolah kebangsaan dan menganak tiri sekolah vernakular,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Pada Bajet 2016, peruntukan pembangunan dan penyelenggarakan fasiliti pendidikan ialah RM500 juta, berkurangan RM300 juta berbanding Bajet 2015 iaitu RM800 juta.

Berdasarkan Bajet 2015, RM450 juta disalur kepada sekolah kebangsaan, RM50 juta (SJKC), RM50 juta (SJKT), RM50 juta (sekolah mubaligh), RM50 juta (sekolah asrama penuh), RM50 juta (sekolah agama bantuan kerajaan), RM50 juta (MRSM), RM25 juta (sekolah pondok) dan RM25 juta (sekolah menengah Cina).

V SivakumarSivakumar kesal kerana Menteri Pendidikan pada jawapan Parlimen semalam, hanya menyatakan Bajet 2016 tidak ada pecahan peruntukan seperti tahun sebelumnya kerana kementerian belum membuat pengagihan.

“Ini jawapan yang tidak boleh diterima. Adakah ada udang di sebalik batu dalam jawapan menteri yang mempunyai maksud tersirat?” katanya.

Sekolah vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda dalam pembelajaran. Ada tiga jenis sekolah vernakular iaitu Melayu, Cina dan Tamil.