Berita

Pembunuhan Bernard tamparan buat Najib di APEC

KUALA LUMPUR 18 NOV: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa perbahasan mengenai pembunuhan kejam seorang warganegara Malaysia dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen yang dipenggal kepalanya, segera dibuat Parlimen esok.

Katanya, perbahasan itu perlu supaya semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti dapat berbincang mengenai ancaman IS dan Abu Sayyaf kepada rakyat tempatan, seterusnya menubuh Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk menanganinya.

Malah, beliau yang turut mencadangkan penghormatan seminit sebelum sidang Parlimen dimulakan, berkata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein perlu memaklumkan perkembangan dan tindak balas kerajaan terhadap kejadian itu.

“Rakyat Malaysia berkabung atas pembunuhan kejam pengganas Abu Sayyaf yang memenggal kepala Bernard selepas menahan tebusan selama enam bulan berikutan penculikan di restoran di Sandakan 15 Mei lalu.

“Pembunuhan Bernard menjadi peringatan kepada Asia Tenggara khususnya Sabah sebagai lokasi berbahaya dan menjadi lubuk pengganas sekaligus menjadi ancaman kepada masyarakat moden,” katanya.

Bernard dipancung beberapa jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Manila, Filipina untuk persidangan dua hari forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Komander Kumpulan Petugas Bersama Sulu Brigadier Genera Alan Arrojada mengesahkan jurutera 39 tahun itu dipancung sekitar jam 4 petang di kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo, Filipina.

Ia berlaku seminggu selepas Abu Sayyaf membebaskan seorang tahanan, Thien Nyuk Fun, pengurus restoran Ocean King Seafood yang diculik bersama Bernard.

Pada kenyataan media hari ini, Kit Siang berkata, Najib perlu membangkitkan isu pembunuhan kejam itu ke sidang APEC, malah menyifatkan pembunuhan itu memberi tamparan hebat kepada Najib yang tiba ke negara itu pada hari sama.