Berita

Gagal selamatkan Bernard, kerajaan patut beri penjelasan

KUALA LUMPUR 18 NOV: Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab untuk menerangkan kegagalan mereka menyelamatkan mendiang Bernard Then Ted Fen sedangkan sedangkan seorang lagi tawanan Abu Sayyaf, Thien Nyuk Fun dibebas minggu lalu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata keluarga mendiang berhak mengetahui mengapa mendiang Bernard tidak dapat diselamatkan dan menjadi korban keganasan kumpulan militan itu.

Pada kenyataan media, hari ini, beliau menyarankan Kerajaan Malaysia perlu secara serius membangkitkan isu ancaman kumpulan Abu Sayyaf pada sidang kemuncak Asean ke-27 minggu ini.

“Saya cadangkan kerajaan di rantau Asia Tenggara membincangkan operasi ketenteraan secara bersama di kepulauan Jolo dan Basilan, di daerah Selatan Filipina; dalam rangka besar untuk menamatkan ancaman kumpulan pengganas itu,” katanya.

Kumpulan Abu Sayyaf yang berpusat di Selatan Filipina dilapor memenggal kepala Bernard beberapa ketika selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Manila, Filipina.

Komander Kumpulan Petugas Bersama Sulu Brigadier Genera Alan Arrojada mengesahkan jurutera 39 tahun itu dipancung sekitar jam 4 petang di kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo, Filipina.

Ia berlaku seminggu selepas pembebasan seorang tahanan, Thien Nyuk Fun, pengurus restoran Ocean King Seafood yang diculik bersama Bernard.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini menggesa perbahasan mengenai pembunuhan Bernard segera dibuat Parlimen esok, selain memberi penghormatan seminit kepada mendiang.