Berita

Larang kanak-kanak berkahwin, bentang akta pesalah jenayah seksual

KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi dengan Akta Daftar Nama Pesalah Jenayah Seksual yang dicadangkan polis lapan tahun lalu?

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempersoal demikian berikutan akta itu sudah dibangkitkan berkali-kali dan bertahun-tahun, malah disokong Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat tetapi tiada perkembangan lanjut.

“Kini 2015, sudah lapan tahun. Apa sudah terjadi dengan akta itu?” katanya pada perbahasan sidang Parlimen, baru-baru ini.

nurinAkta itu dicadang polis berikutan tragedi menimpa Nurin Jazlin Jazimin berusia lapan tahun yang mayatnya dijumpai dalam sebuah beg selepas dirogol dan dibunuh pada 2007.

Steven mengingatkan statistik menunjukkan seorang wanita menjadi mangsa rogol di Malaysia setiap lima minit, 100 wanita dirogol setiap hari dan separuh daripadanya berusia bawah 16 tahun.

Justeru, beliau mendesak menteri berkaitan supaya memastikan undang-undang melarang perkahwinan kanak-kanak dan Akta Daftar Nama Pesalah Jenayah Seksual dibentang tahun depan.

“Ia tanggungjawab kita untuk mewujudkan suasana selamat dan sihat kepada semua rakyat, lelaki dan perempuan. Justeru, saya merayu semua pihak memastikan kedua-dua perundangan itu menjadi kenyataan secepat mungkin,” katanya.

Katanya, perkahwinan kanak-kanak bawah umur 18 tahun patut dilarang, apatah lagi Malaysia meratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dengan pengecualian Artikel 16(2) yang melarang perkahwinan kanak-kanak.

“Pelbagai laporan sama ada dalam atau luar negeri tentang aspek negatif dan hampir tiada aspek positif mengenai perkahwinan kanak-kanak,” katanya, menambah kira-kira 16,000 kanak-kanak perempuan bawah usia 15 tahun berkahwin pada tahun berkenaan pada 2010.

“Sebagai pemimpin, ibu bapa, pakcik, makcik, orang dewasa akan terus gagal menghalang kanak-kanak dari menjadi mangsa perkahwinan bawah umur selagi kita gagal menggubal perundangan untuk melarang perkara itu,” katanya.

Baru-baru ini, seorang lelaki yang mengaku salah atas dua tuduhan merogol adik iparnya berusia 11 tahun dan memaksa isterinya berusia 14 tahun yang kurang upaya (OKU) merakam pelakuannya, kemudian membuat salinan rakaman video cakera padat (VCD) dan menjual kepada kenalannya.