Rencana

Seloroh seksis bukan jenaka tapi musuh

PADA dialog mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) baru-baru ini, Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed cuba mereda ketengangan dengan jenaka hambar tetapi seksis – membandingkan perkahwinan dengan Ibu Pejabat MITI yang baru dibina:

“Sebelum ini, kami di Jalan Duta, 30 tahun di sana. Lama-lama dah kahwin ni, buang isteri, kahwin baru. Tiga puluh tahun di Jalan Duta, ia masa yang panjang, sangat panjang. Jadi dah bosan, ‘fed up’, pindah sinilah, jadi hari pertama di sini.”

Meskipun sudah membuat pemohonan maaf, segalanya sudah terlambat dan kejadian itu memperkukuh lagi pemikiran kaku cauvinisme yang ditonjol segelintir ahli politik serta masyarakat yang tidak menyedari bahayanya kenyataan seumpama itu.

Jenaka seksis bukanlah perkara yang boleh dianggap remeh, walaupun cuba menyakinkan kita bahawa beliau berniat suci dan tidak bermaksud untuk mendatangkan kemudaratan.

Seloroh yang menyentuh konteks seperti itu memberi kesan negatif terhadap kedudukan kaum wanita dalam masyarakat kita. Kenyataan yang mengaitkan keperawanan wanita dan perkahwinan benar-benar menjelikkan.

Ia seolah-olah memperlekeh kaum wanita dan tidak sepatutnya dipandang enteng.

Hal itu mempengaruhi tanggapan masyarakat yang menjadikan masyarakat menerimanya sebagai kebiasaan hingga mendatangkan lebih banyak kemudaratan terhadap pembangunan masyarakat.

Mengikut kajian pakar psikologi di Western Carolina University: “Pendedahan kepada jenaka seksis akan melahirkan keadaan yang membenarkan kaum lelaki lebih-lebih lagi yang bersikap buruk terhadap wanita – menyatakan sikap berkenaan dalam setiap perbuatan mereka. Maka, penerimaan jenaka itu mendorong masyarakat untuk percaya bahawa perbuatan itu diterima dalam lingkungan masyarakat.”

Jenaka seksis mengeksplotasi sikap tidak endah masyarakat dan menggalakkan sikap taksub kerana seloroh sedemikian seolah-olah mewajarkan perbuatan yang menyinggung sensitiviti orang lain.

Kesannya, kejadian itu membenarkan perkara seumpanya berlaku dengan lebih berleluasa tanpa adanya tapisan dan kritikan.

Perkara berkenaan benar-benar berlaku dan kita dapat meyaksikan dan merasai sendiri situasi kaum lelaki (kadangkala wanita) bercakap hal seksis tanpa ada rasa bersalah kerana menganggapnya ia boleh diterima masyarakat.

Jika seseorang dengan mudahnya merendah-rendahkan golongan wanita, kelompok yang bersikap misoginis akan menganggap perbuatan itu sebagai penerimaan umum terhadap kelakuan dan sikap buruk mereka.

Situasi itu berbahaya kerana ia mendorong masyarakat berasa tidak berdaya untuk mengambil tindakan terhadap diskriminasi berkenaan. Lihat sahajalah bagaimana masyarakat kita memandang isu seperti perkahwinan bawah umur, rogol dan keganasan terhadap wanita.

Dengan kata lain, jenaka itu hanya memperkuat lagi sikap taksub dan kurang toleransi yang berakar umbi dalam masyarakat.

Adakah permintaan itu kedengaran berat, jika ahli politik menapis segala kenyataan yang menyingung perasaan dan cuba menonjolkan sikap sopan daripada membuat kenyataan yang memperkecil-kecil kaum wanita?

Sangat penting untuk menunjukkan sikap dan idea positif terhadap kaum wanita bagi memelihara kehormatan, penyertaan golongan itu dalam masyarakat daripada membenarkan dan memuaskan diri dengan kelakuan kurang sopan.

Jenaka seumpama itu satu penghinaan terhadap kaum wanita dan memalukan negara. Jenaka seksis adalah musuh yang nyata dan tidak ada kenyataan yang dapat menjustifikasi tindakan berkenaan.

 

* Syerleena Abdul Rashid  ialah Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera